- Lain-lain
Tanam Buluh untuk Sang Panda dalam Kesejukan Finland (3)
Berbekalkan rasa sayang yang begitu kuat terhadap haiwan panda gergasi, ahli agronomi Finland sedang belajar kaedah menanam buluh dalam suhu sejuk beku yang biasanya tidak sesuai untuk pertumbuhan sumber makanan utama haiwan ikonik itu.
Pada awal 2018, sepasang panda gergasi dari China buat kali pertamanya berjumpa dengan orang ramai di Zoo Ahtari, Finland. Sambutan yang diterima daripada khalayak cukup menggalakkan, lebih-lebih lagi kerana itulah kali pertama panda telah dibawa untuk tinggal di Eropah Utara.
Pasangan panda itu, Hua Bao dan Jin Baobao, diberikan nama timang-timangan “Pyry” dan “Lumi” – yang bermakna “salji lebat” dan “salji” – oleh tuan rumah di Finland.
Dua tahun sebelum ketibaan tetamu khas ini, sekumpulan petani tempatan menyahut cabaran untuk menanam buluh di negara Nordic yang suhunya selalu menjunam ke paras negatif 30 darjah Celsius pada musim sejuk. Para petani bagaimanapun tetap tidak berputus asa meskipun terpaksa mengharungi bermacam-macam kesukaran, dan hasil titik peluh mereka kini dapat dilihat daripada tanaman buluh yang tumbuh subur dalam keadaan sejuk melampau.
Selepas beberapa tahun, penasihat pertanian Jari Luokkakallio telah menjadi pakar dalam penanaman buluh. Hasrat untuk menyediakan rizab makanan yang sebaik mungkin bagi sang panda menjadi motivasi buat dirinya.
“Saya rasa panda lebih suka buluh yang saya sediakan,” kata Luokkakallio. “Buluh itu segar dan ditanam di sini.”
Anggaran 50 orang petani telah melibatkan diri dalam usaha menanam buluh ketika projek itu dilancarkan pada 2016.
Mengenang kembali, Luokkakallio mengakui betapa mencabarnya tahun pertama dahulu.
“Ketika suhu turun ke negatif 30 darjah (Celsius) pada November dan Disember, habis mati tanaman buluh kami.”
Tahun berikutnya, mereka mula menanam semula.
“Barulah kami faham yang kami perlu lindungi buluh dengan lebih baik.”
Mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman seperti itu, Luokkakallio menekankan pentingnya mereka mengaplikasikan teknik-teknik yang sesuai dengan iklim Finland. Misalnya, salji boleh digunakan sebagai penebat semula jadi untuk tanaman buluh.
Apabila Luokkakallio mendengar bahawa buluh tumbuh subur di kawasan-kawasan gunung di China yang dingin dan lembap, dia yakin tumbuhan itu juga mampu hidup di bumi Finland yang bersalji.
“Salji sebenarnya dapat menjadi pelindung terbaik untuk tumbuhan malar hijau seperti buluh,” kata Luokkakallio. Jelasnya lagi, langkah menutup buluh dengan salji dapat memastikan kelembapan yang mencukupi supaya dedaun kekal hijau dan segar.
Melalui eksperimen yang dijalankan serta pengajaran yang diambil daripada kesilapan yang berlaku, Luokkakallio telah menjumpai cara-cara khusus yang boleh diamalkan di Finland untuk melindungi buluh. Ini mustahak bagi menampung keperluan pemakanan panda secara tempatan.
Pengeluaran buluh di Finland kini dapat memenuhi sebahagian keperluan bekalan makanan dua ekor panda tersebut, menawarkan satu alternatif sekiranya berlaku situasi ekstrem yang mungkin menghalang buluh import daripada tiba seperti yang dijadualkan.
“Menanam buluh ialah hobi kami, bukannya satu perniagaan,” kata Luokkakallio, sambil menambah bahawa dia dan rakan-rakan sekerjanya gembira dapat membekalkan makanan tambahan untuk sang panda comel di Ahtari.
“Cucu-cucu saya juga tumpang bangga kerana apa yang saya usahakan untuk dua panda ini cukup bermakna.”
- Anak Panda Tampil Berkumpulan di Sichuan
- Jumlah Panda Liar China Meningkat ke Hampir 1,900 Ekor
- Panda Gergasi Meng Xiang dan Meng Yuan Selamat Kembali ke China dari Jerman
- Anak-anak Panda “Baru Dapat Kaki”
- China Pergiat Usaha Pembangunan Taman Negara
- Panda Xiang Xiang Jumpa Orang Ramai di Ya’an
- Anak Panda Yi Yi, Sheng Yi Dihantar Pulang ke China Hari Ini
- "Duta Panda" Xing Xing, Liang Liang, Rai Hari Jadi Ke-17 di Malaysia
- Panda Gergasi Baharu Jumpa Orang Ramai di Hangzhou
- Panda Gergasi Dijamu "Barbeku Layan Diri"