- Lain-lain
Jerami, Pencetus Kreativiti (2)
Xu menghasilkan banyak karya seni jerami betari selama bertahun-tahun, termasuk bot naga. (foto/China Daily) |
Daripada Menara Kren Kuning di provinsi Hubei hinggalah menara Kota Terlarang di Beijing, susun atur indah miniatur bangunan kuno klasik yang diperbuat daripada jerami menghiasi rumah Xu Jian.
Kesemuanya penuh dengan butir-butir terperinci dan direka secara halus, diikat dan disusun oleh tangan kreatif Xu daripada jerami betari yang sangat banyak.
"Tiang, rasuk, cucur atap, kurungan, pintu dan tingkap... kesemuanya diperbuat daripada timbunan betari," ujar Xu sambil menunjuk ke Menara Kren Kuning yang setinggi 1 meter di pangkalannya di daerah Yongqing, bandar Langfang, provinsi Hebei, utara China.
Setiap karya biasanya diperbuat daripada ratusan ribu batang betari dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan tanpa menggunakan sebarang paku atau gam.
"(Kaedah ini) bergantung sepenuhnya pada binaan saling mengunci, duri dan tanggam," jelas lelaki berusia 30-an itu.
Menurut Xu, seni kraf itu melibatkan ukiran alur ke dalam tangkai betari, seterusnya dihimpunkan bersama melalui alur bersaiz sama, dan teknik tersebut dipanggil sebagai ikatan.
Tambahnya, bentuk seni itu juga menggabungkan unsur geometri, fizik, seni bina dan mekanik.
Selain itu, semua rasuk dan tiang diluruskan selepas dipanaskan secara berasingan di atas lampu alkohol.
"Ini satu-satunya cara untuk membolehkan setiap pintu dan tingkap yang dipasang dibuka dan ditutup dengan betul, sekali gus memastikan kerja akhir yang kemas," kata Xu.
Sehingga kini, karya Xu telah dipamerkan di lebih 40 pameran peringkat wilayah dan kebangsaan, selain turut memperoleh banyak anugerah emas.
"Misi utama pewaris warisan budaya tidak ketara adalah bukan sahaja untuk memelihara, malah juga untuk menginovasi," katanya lagi.
Difahamkan, Xu turut merancang untuk memasukkan unsur-unsur yang lebih moden ke dalam seni jerami betari, seperti mencipta karya yang menggambarkan kapal angkasa Shenzhou dan kapal pengangkut pesawat China.
- Wau Bulan Dipamerkan di Pameran Warisan Budaya Tidak Ketara Jalan Sutera Maritim ke-3 di Fujian
- Kenali Keindahan Tembikar Hitam Yunnan
- Warisan Seni Persembahan Muqam Terus Mekar Di Xinjiang
- Pemodenan Hidupkan Semula Lukisan Ukir Kayu
- Warisan Muzik Uygur Bawa Kekayaan kepada Artis Rakyat
- Karnival Tanglung Berlangsung Meriah di Zigong, Sichuan
- Animasi Paparkan Pesona Warisan Budaya Tidak Ketara China kepada Dunia