- Lain-lain
Pertandingan "Kisah Saya dengan Hanzi Bahasa Cina" 2023 Berakhir di Jincheng
Bertemakan "家園" (Jiayuan atau kampung halaman), peringkat akhir pertandingan antarabangsa "Kisah Saya dengan Hanzi Bahasa Cina" 2023 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang pada 14 September lalu di bandar Jincheng, provinsi Shanxi, utara China.
Pertandingan yang bermula sejak Jun lalu itu berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 individu dari lebih 70 negara di seluruh dunia.
Selepas pusingan awal dan separuh akhir, 10 pasukan finalis dari Poland, Kenya, Pakistan, Chad, Nigeria, Ghana, Laos, Sudan, Mongolia, dan Rusia telah dipilih untuk bertanding di final yang diadakan di Jincheng.
Para peserta menggunakan ruang tersebut untuk berkongsi visi masing-masing tentang "kampung halaman" yang ideal dalam bahasa Mandarin yang fasih dan penuh semangat semasa pusingan tersebut.
Ojimmadu Raphael Ebube, peserta dari Nigeria dinobatkan sebegai pemenang Anugerah Utama; Sejoud Isam Mahir Hassan dari Sudan dan Lydia Nduta Njoroge dari Kenya meraih Hadiah Pertama; Kaleem Sajid dari Pakistan, Moses Arthur Baidoo dari Ghana, dan saudara kembar Yasser Mahamad Senoussi dan Ousama Mahamad Senoussi Ahmad dari Chad pula memenangi Hadiah Kedua; dan baki finalis membawa pulang Hadiah Ketiga.
Difahamkan, objektif utama acara itu adalah untuk mempromosikan idea-idea hebat dalam tamadun China, seperti "seluruh dunia adalah satu keluarga," "semua orang bersaudara" dan "keharmonian antara semua negara".
Acara itu turut menjadi wadah untuk berkongsi aspirasi rakyat China dalam usaha menggalakkan kewujudan bersama yang harmoni antara tamadun, seterusnya membina dunia yang indah bersama-sama dengan rakyat dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Pertandingan dihoskan oleh Persatuan Rakyat China untuk Persahabatan dengan Negara Asing (CPAFFC) bersama People's Daily Online dan Jawatankuasa Perbandaran Jincheng Parti Komunis China (PKC), Kerajaan Rakyat Perbandaran Jincheng dan Kumpulan Canselor Huangcheng Rumah Shanxi.