- Lain-lain
RCEP Bantu Ningxia Perluas Lingkungan Rakan Kongsi
Kakitangan bekerja di bengkel pemprosesan buah goji di kampung Tongde, kaunti Tongxin, wilayah autonomi Hui Ningxia di barat laut China pada 23 Oktober 2020. (Xinhua/Feng Kaihua) |
Yinchuan, ibu kota wilayah autonomi Hui Ningxia di barat laut China, mengalu-alukan sekumpulan “tetamu khas” pada hari Rabu dengan ketibaan penerbangan antarabangsa pertamanya berikutan langkah China mengoptimumkan respons COVID-19.
Penerbangan tersebut merupakan pesawat carter yang membawa lebih daripada 1,700 ekor biri-biri dari New Zealand. Ini menandakan satu permulaan baharu susulan pandemik yang telah menyebabkan penerbangan kargo ke Ningxia terhenti selama tiga tahun.
Pada hari Khamis, satu lagi kawanan biri-biri, kali ini sebanyak lebih 1,300 ekor yang merupakan baka untuk pembiakan, diangkut ke Yinchuan melalui cara sama.
Tibanya kargo istimewa ini pada waktu Ningxia menyaksikan ledakan dalam aktiviti perdagangan luar, dapat dianggap hasil daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.
RCEP, yang dimeterai oleh 15 negara di rantau Asia Pasifik, telah menjadi suatu stimulus yang memangkinkan kerjasama dan perdagangan.
Menurut Kastam Yinchuan, nilai transaksi perdagangan berdaftar di bawah RCEP yang membabitkan wilayah Ningxia mencecah 839 juta yuan (anggaran 544 juta ringgit) pada 2022. Ini membawa kepada konsesi cukai kastam sebanyak 25 juta yuan (16 juta ringgit). Antara yang menikmati konsesi tersebut termasuklah pengilang produk-produk mesin, tenaga bersih dan pertanian.
“Pelaksanaan RCEP telah membawa faedah dari segi pelepasan kastam dan insentif cukai, yang sekali gus mengurangkan lagi kos operasi kami,” kata seorang kakitangan Ningxia Tiandi Benniu Industrial Group Co., Ltd. “Sekarang, hanya dengan memiliki sijil perakuan tempat asal yang dikeluarkan RCEP, kami layak menikmati kemudahan ditawarkan dasar-dasar tarif keutamaan yang sepadan.”
Sejak berkuat kuasanya RCEP, syarikat itu telah mengisytiharkan barang-barang bernilai lebih 56 juta yuan (36 juta ringgit) di bawah mekanisme perjanjian tersebut, membolehkannya mendapat konsesi cukai hampir 17 juta yuan (11 juta ringgit).
RCEP turut merangsang eksport produk-produk pertanian Ningxia yang berkualiti tinggi dan merupakan keistimewaan tempatan seperti buah goji, beras dan kentang.
“Produk-produk yang kami promosikan seperti buah goji, jujub dan bunga day lily terutamanya dieksport ke Jepun. RCEP telah membantu kami menembusi lebih banyak pasaran luar negeri dan memperbanyak tempahan baharu,” kata Hu Wenjing yang bekerja dengan Ningxia Hong Rising Biological Technology Co., Ltd. Produk-produk syarikat itu juga layak mendapat potongan cukai antara 8 hingga 12 peratus.
Pada 2022, penguasa kastam di Ningxia mengeluarkan 652 sijil perakuan tempat asal RCEP untuk 45 syarikat, yang mengecualikan mereka daripada tarif berjumlah kira-kira 22 juta yuan (14 juta ringgit).
“Sambil menyatukan pasaran tradisional seperti Kesatuan Eropah dan ASEAN, kami akan aktif meneroka potensi pasaran seperti Afrika, Amerika Selatan dan rantau Arab untuk memperluas lingkungan rakan kongsi buat Ningxia,” ujar Chen Yan, seorang pegawai dari Kastam Yinchuan.
- RCEP Buka Peluang Baharu kepada Ekonomi Filipina
- Ais Biru di Sungai Kuning
- RCEP Jamin Pertubuhan Perdagangan
- Gunung Helan: Berubah Wajah Sepanjang Tahun
- Jana Daya Luar Biasa, Kongsi Peluang Pembangunan
- Guangxi, Singapura Membina Bersama Laluan Perdagangan Darat-Laut Baharu
- China, Filipina Tandatangani Protokol Pengiktirafan Bersama AEO
- Keterbukaan Mustahak bagi Kemakmuran Dunia
- RCEP Berkuatkuasa di Indonesia
- RCEP Bina Contoh Perkongsian dan Keterbukaan Ekonomi Serantau
- RCEP Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Serantau
- RCEP Berkuat Kuasa bagi Indonesia