- Lain-lain
RCEP Jamin Pertubuhan Perdagangan
China menjadi pengimport terbesar produk pertanian Vietnam
Walaupun masyarakat global menghadapi kenaikan harga minyak, inflasi dan gangguan rantaian bekalan, perdagangan dua hala antara China dan Vietnam tahun lepas mencapai pertumbuhan tinggi dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Timbalan pengarah Syarikat Saham Bersama Eksport Bahan Makanan Dong Giao di wilayah utara Ninh Binh, Dinh Gia Nghia berkata “Sejak RCEP berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, terutamanya selepas China baru-baru ini membenarkan pengimportan hasil pertanian Vietnam termasuk durian, sarang burung, ubi keledek dan buah markisa, seluruh syarikat Vietnam termasuk syarikat kami telah menemui peluang besar untuk mengeksport produk baharu ke negeri jiran di utara”.
Pada 17 September 2022, pekerja kilang di wilayah Dak Lak, Vietnam, sedang meletakkan pelekat pada durian segar sebelum dieksport ke China. (foto: Xinhua)
Untuk meningkatkan perolehan eksport ke negara anggota RCEP termasuk China, syarikat Vietnam harus menginovasi teknologi dan menaiktarafkan kualiti dan reka bentuk produk. Nghia berkata “RCEP telah menjadi satu batu loncatan bagi kami untuk mempertingkat pengeluaran, menambah baik kualiti dan kuantiti produk, dan meninggikan nilai eksport”
Kenyataan itu diulang oleh petani tempatan dan pegawai wilayah Vietnam yang mengeksport buah-buahan.
Nguyen Van Hai dari daerah Cai Lay, wilayah Tien Giang memaklumkan bahawa beliau baru menjual 5 tan durian kepada peniaga dengan harga hampir 80,000 dong Vietnam (14.49 ringgit) sekilogram, sekali ganda harga dalam tempoh sama tahun 2021. “Ini hasil pelaksanaan standard penanaman yang lebih tinggi,” kata petani veteran itu.
Menurut Nguyen Van Man, pengarah Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar wilayah Tien Giang, durian Vietnam yang dieksport ke China melalui saluran rasmi sebelum ini merupakan faktor penyumbang kepada harga lebih tinggi dan jumlah produk lebih besar yang dihantar ke China.
Berdasarkan data Institut Dasar dan Strategi Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar di bawah Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam, Vietnam telah untung sebanyak 50 juta dolar (212.45 juta ringgit) daripada mengeksport durian ke China pada Oktober lalu, melonjak 4,120 peratus berbanding tempoh sama tahun 2021, peningkatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sektor durian di Vietnam.
Dari 17 September hingga 30 November 2022, lebih 20,000 tan buah-buahan dihantar ke China melalui saluran rasmi.
Banyak syarikat Vietnam sedang mengembangkan zon material dan meningkatkan kualiti buah-buahan untuk merangsang eksport ke China dan negara anggota RCEP lain.
Seorang petani berkerja di kebun buah naga di Kawasan Thoi Lai, wilayah Can Tho, Vietnam, pada 26 Januari 2022. (foto: Xinhua)
“Kami sedang merancang menambah jumlah kawasan penanaman serentak dengan peningkatan skala pemprosesan bagi menjamin bekalan durian yang mencukupi untuk dieksport sepanjang tahun, bukan pada satu musim sahaja”, kata Vu Ngoc Huy, timbalan pengarah Dung Thai Son Import-Export Trading Joint Stock Company di wilayah Dak Lak.
Sehingga akhir 2022, syarikat itu mempunyai 17 fasiliti untuk pembelian dan pembungkusan buah-buahan dengan lebih 200 pekerja di wiliyah Dak Lak dan Tien Giang. Output harian durian yang diproses untuk eksport oleh syarikat itu ialah 50 tan, Hyu menambah.
Van Xuan Phat Import-Export Co di Ho Chi Minh City juga menumpukan pada eksport buah-buahan, terutamanya durian dan buah markisa, untuk dihantar ke China dan negara anggota RCEP lain.
Pengarah operasi Van Xuan Phat Import-Export Co, Nguyen Vu Thang berkata pihaknya telah mengeksport tiga kontena pertama pada 17 September, diikuti 1,000 tan pada setiap bulan berikutnya berdasarkan keperluan pelanggan.”
Foto yang diambil pada 2 Mac 2022 ini menunjukan pangkalan terminal kontena di pelabuhan Qinzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China. (foto: Xinhua)
Nghia dari Syarikat Saham Bersama Eksport Bahan Makanan Dong Giao memberitahu, pada tempoh perayaan Tahun Baharu Cina (TBC), permintaan pasaran China menyumbang lebih 50 peratus daripada eksport buah-buahan segar Vietnam.
Pada 2023, eksport buah-buahan dan sayur-sayuran ke China dijangka meningkat 20 hingga 30 peratus, terutamanya hasil daripada pengangkutan lancar, pelepasan kastam cepat dan tarif rendah yang dijanjikan RCEP selain kemajuan dalam e-dagang. Nghia berkata, syarikatnya tidak sabar untuk mengeksport durian sejuk beku ke negara jiran.
“Selain daripada durian, buah-buahan lain seperti buah markisa, pisang, nanas dan mangga juga mempunyai banyak peluang untuk dieksport ke China, asalkan buah-buahan tersebut memenuhi keperluan rakan kongsi di negara itu, misalnya mematuhi standard ketat dalam prosedur penanaman, penuaian, pembekalan dan pembungkusan.”
Agensi Perdagangan Luar di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam berkongsi pandangan Nghia. Agensi itu mengatakan bahawa, perolehan eksport buah-buahan dan sayur-sayuran dijangka terus bertambah pada masa depan kerana durian telah dibenarkan memasuki China, iaitu pengimport buah-buahan dan sayur-sayuran terbesar bagi Vietnam. Pisang akan menyusul langkah ini tidak lama lagi, menyumbang kepada skala perdagangan yang lebih besar antara China dan Vietnam.
Menurut Jabatan Statistik Vietnam, dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2022, nilai perdagangan asing Vietnam mencapai 673.82 bilion dolar (2.86 trilion ringgit), meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun. China merupakan destinasi eksport terbesarnya.
Dengan pelaksanaan RCEP, perdagangan antara Vietnam dan negara anggota RCEP lain, termasuk China akan terus berkambang pada tahun-tahun akan datang, kata seorang pegawai Vietnam.
- Jana Daya Luar Biasa, Kongsi Peluang Pembangunan
- Guangxi, Singapura Membina Bersama Laluan Perdagangan Darat-Laut Baharu
- China, Filipina Tandatangani Protokol Pengiktirafan Bersama AEO
- Keterbukaan Mustahak bagi Kemakmuran Dunia
- RCEP Berkuatkuasa di Indonesia
- RCEP Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Serantau
- RCEP Berkuat Kuasa bagi Indonesia
- Dagangan China, Anggota RCEP Menokok Pesat