- Lain-lain
Mengapa Pelajar Malaysia Pilih Universiti China?
Yuran pengajian yang rendah dan reputasi yang semakin tersebar luas, antara faktor yang menjadikan kian ramai warga Malaysia memilih untuk menuntut ilmu di China.
Menurut sumber yang dipetik oleh Straits Times Singapura, kira-kira 1,800 pelajar dari Malaysia melanjutkan pelajaran mereka di negara Tembok Besar pada tahun 2007. Angka ini melonjak kepada 9,500 setakat 2019 dan dikatakan telah mencecah 10,000 tahun lepas.
Data tersebut, yang sumbernya daripada Persatuan Graduan dari Universiti dan Kolej China di Malaysia, juga menunjukkan trend peningkatan berterusan.
Penduduk tempatan menyertai Ekspo Pendidikan dan Kerjaya Study In China HSK 2024 yang berlangsung serentak dengan Forum Pendidikan Tinggi ASEAN(Malaysia)-China di Kuala Lumpur pada 23 Mac 2024. (Xinhua/Cheng Yiheng)
Presiden persatuan, Lim Kok Yan menyatakan kos pengajian dan sara hidup yang rendah menarik minat warga Malaysia yang hendak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi China. Apatah lagi, banyak universiti dan badan kerajaan di China juga menawarkan biasiswa.
Jelas pengarah Institut Pengajian China Universiti Malaya, Profesor Madya Ngeow Chow-Bing, satu lagi kelebihan yang menjadi pertimbangan ialah kesempatan untuk menjalin ikatan sosial sambil belajar di China, yang mampu membuka pintu kepada peluang perniagaan atau ekonomi pada masa depan.
Juga ketara ialah reputasi universiti-universiti terunggul China yang semakin tersebar luas. Ujar Ngeow Chow-Bing, ini menambah lagi daya tarikan institusi berkenaan, terutamanya terhadap calon pelajar berbangsa Cina dari Malaysia.
Senarai Times Higher Education’s World University Rankings 2024 meletakkan Universiti Tsinghua di tangga ke-12, naik sebelas anak tangga berbanding tahun 2020, manakala Universiti Peking di tempat ke-14. Pada keseluruhannya, sebanyak tujuh universiti di Tanah Besar China tersenarai antara 100 universiti terunggul dunia, berbanding tiga pada 2020.
Gooi Ming Kuan, calon PhD di Universiti Xiamen menekankan aspek kos pengajian di China yang lebih rendah daripada negara-negara lain. Pemuda berumur 31 tahun ini turut menganggap suasana akademik di universiti termasyhur China mempunyai kelebihan dari tiga segi, iaitu tahap pengajaran dan penyelidikan yang tinggi, tahap kesedaran untuk memajukan prestasi diri dan juga tahap pengetahuan akademik asas yang tinggi, serta perpustakaan yang lengkap.
Selain pertimbangan aspek ekonomi, peluang untuk terus-menerus menyelami bahasa Cina dan budaya China juga satu kelebihan besar.
Norizzati Muhamad Maulana yang pernah belajar di China untuk beberapa tahun, beranggapan pendedahan kepada budaya China secara dekat telah benar-benar membantunya dalam mengejar impian menjadi guru bahasa Cina.
Sejajar dengan aspirasi Malaysia dan China untuk memperkukuh lagi ikatan ekonomi dan perdagangan dua hala, berbagai-bagai peluang menanti syarikat-syarikat Malaysia dan juga lulusan universiti China.
Syarikat-syarikat China di serata dunia cenderung untuk memilih graduan universiti China, ujar Lim Kok Yan, yang turut menambah bahawa pelajar Malaysia yang pernah belajar di China dicari-cari oleh syarikat seumpama. Ini meluaskan lagi prospek bagi mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan.
- Terokai Chengdu, Bandar Penuh Riang dan Bertenaga
- Teroka Khazanah Seni Bina Shanxi dalam “Black Myth: Wukong”
- Sekilas Pandang Pintu Sempadan di Seluruh China
- KBRI Jemput Warga China Rasa Keunikan Budaya Sempena Hari Kemerdekaan Indonesia
- Hari Ekologi Kebangsaan: Sekilas Pandang Panorama Alam Bak Lukisan China Nan Indah
- Malaysia Komited Promosi Pendidikan Secara Lebih Efisien pada CAECW Tahun Depan
- Tianjin Sambut Buah Nangka dari Malaysia
- MOTAC: Pelancong China Melonjak 1.9 Kali Ganda
- Malaysia Bakal Tambah Tren dari China secara Pajak
- China, Malaysia Kerjasama Percepat Transformasi Hijau
- Tren Buatan China Siap, Sedia untuk Operasi di Malaysia
- Armada Tentera Laut China Singgah di Malaysia
- Trip.com, Capital A, Kini Rakan Kongsi Strategik
- Kerjasama Pendidikan Kunci Kemakmuran Bersama
- China Eastern Rasmikan Penerbangan Kunming-KL