- Lain-lain
Pengembaraan A Bao Jadi Titik Penting Dalam Usaha Pemuliharaan Gajah
Foto memparkan A Bao sedang mengikuti latihan adaptasi di Xishuangbanna di Wilayah Autonomi Xishuangbanna Dai, Provinsi Yunnan. (Foto Xinhua)
A Bao merupakan seekor gajah yang terkenal di pusat bandar Pu'er di Provinsi Yunnan suatu ketika dahulu. Malah, sikap antisosialnya turut meresahkan pihak berkuasa tempatan.
Hari ini, A Bao yang menetap bersendirian jauh di dalam hutan tebal Xishuangbanna di barat daya China, iaitu syurga bagi seekor gajah itu dilihat kembali riang.
Pada Mei lalu, A Bao, atau "harta karun," telah dikembalikan ke alam liar selepas mendapat latihan yang secukupnya dan persiapan rapi selama bertahun-tahun dan, sebagai kes pertama China yang berjaya memperkenalkan semula gajah Asia yang diselamatkan ke alam semula jadi.
Untuk rekod, A Bao yang berusia 12 tahun dengan berat 2.1 tan tersisih daripada kawanan gajah pada 2018 dan menjalani pengembaraan di bandar yang penuh liku. A Bao merayau ke merata-rata tempat termasuk di jalanan, terminal bas, sekolah dan pasar malam.
Ia sekali gus menyaksikan pihak berkuasa tempatan panik, dan segera memulakan rancangan tindak balas kecemasan dalam usaha untuk mengelakkan konfrontasi antara manusia dan gajah.
Selepas percubaan awal untuk membawanya keluar dari bandar itu gagal, A Bao telah dibius dan dibawa ke Pusat Penyelamat dan Pembiakan Gajah Asia Xishuangbanna di Wilayah Autonomi Xishuangbanna Dai.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, sehingga kini, pusat itu telah terlibat dalam penyelamatan 30 ekor gajah Asia liar.
Setelah dinilai, para penyelidik secara rasmi melancarkan projek perintis untuk mengembalikan gajah Asia yang diselamatkan untuk ke habitat semula jadi pada Julai 2022, dengan A Bao sebagai kajian kes mereka.
Sepanjang projek tersebut, A Bao tinggal lebih lama di alam liar dan memakan lebih banyak jenis tumbuhan semula jadi, menyaksikan beratnya meningkat kepada 2.4 tan. Selepas perbincangan yang meluas, pakar gajah sebulat suara menyatakan bahawa A Bao memenuhi syarat untuk kembali ke alam liar.
Pada 14 April, A Bao memulakan latihan peringkat akhirnya di kawasan hutan belantara bebas yang menjangkau lebih 200 mu (kira-kira 13.33 hektar).
Chen Yubing merupakan individu yang bertanggungjawab menjaga A Bao khususnya dalam penyediaan makanan dan perancangan latihan bagi membolehkan gajah itu mengadaptasi dengan keadaan sebenar di hutan liar.
Latihan yang disediakan oleh Chen adalah termasuk melepaskan gajah itu selama tujuh jam sehari ke dalam hutan sambil diperhatikan dari jauh.
Tanggal 17 Mei pada pukul 6 petang merupakan detik bersejarah apabila A Bao dilepaskan ke hutan liar setelah pagar dibuka.
Sehingga kini, para penyelidik masih memerhatikan A Bao menerusi gelang yang dipakaikan bagi mengetahui perkembangan dan keadaan gajah itu.
Lapor Xinhua, berbanding hanya merayau sejauh beberapa kilometer, kini radius aktiviti semasanya melebihi 20 kilometer, tanpa sebarang kejadian memasuki kampung. A Bao juga telah membuat beberapa percubaan untuk berintergrasi ke dalam kumpulan gajah yang terdiri daripada 26 ekor gajah.
"Dia kelihatan lebih kuat dan lebih berhati-hati," kata Bao Mingwei selepas menonton rakaman pemantauan. Melalui analisis najis, didapati bahawa A Bao kini memakan lebih 100 jenis sumber makanan, sama seperti gajah dewasa liar.
Foto yang diambil menggunakan dron pada 26 Julai 2024 ini memperlihatkan A Bao di kawasan Mengyang di Xishuangbanna di Wilayah Autonomi Xishuangbanna Dai, Provinsi Yunnan. (Xinhua/Hu Chao)
Pemantau gajah Asia Yang Jun (kanan) dan rakannya menerbangkan kenderaan udara tanpa pemandu untuk mengesan gajah A Bao di Bandar Jinghong, Wilayah Autonomi Xishuangbanna Dai di Provinsi Yunnan, barat daya China, pada 10 Ogos 2024. (Xinhua/Hu Chao)
- Jambatan Wanning: Tulang Belakang Paksi Tengah Beijing
- Melancong ke China: Bagaimana Pelancong Asing Melihat China
- Jalan Sutera Budaya | Menang-menang: Kisah Malaysia
- Bagaimana Warga Malaysia dan Indonesia Melihat China?
- Menara Suria Garam Lebur Serlahkan Industri Tenaga Hijau Xinjiang yang Pesat Berkembang di Hami
- Festival Obor Diraikan di Chuxiong
- Kempen Membaca ke-3 Dimulakan di Kunming
- Cerita Bergambar Tukang Bersih di Taman Glasier Gunung Salji Yulong
- Orang Ramai Sambut Pesta Songkran di Yunnan
- Etnik Dai Lepaskan Lantera Kongming ke Udara Bagi Perayaan Tahun Baru
- Tempat Awan Putih Jatuh ke Bumi
- Iklim Sederhana Musim Sejuk Yunnan Tarik Ramai Pelancong
- Hantaran Kargo Rel China-Laos Meningkat 94.91 Peratus
- Yunnan Sibuk Bekal Sayur ke Utara China yang Dilanda Kesejukan
- Taman Negara Shangri-La: Sentuhan Warna Bak Lukisan