- Lain-lain
China Tubuh Pusat Kajian Inisiatif Keselamatan Global
Majlis pelancaran Pusat Kajian Inisiatif Keselamatan Global (GSI) berlangsung di Beijing pada Khamis, serentak dengan penyiaran laporan mengenai kemajuan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menteri Luar Wang Yi dalam ucapan secara bertulis menyatakan sejak GSI dikemukakan lebih dua tahun lalu, China sentiasa memegang konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan, melaksanakan sepenuhnya inisiatif itu bersama masyarakat antarabangsa sehingga beroleh hasil memberangsangkan dalam kerjasama membabitkan bidang keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Beliau berkata laporan berkenaan akan membantu semua pihak mendalami erti praktikal dan nilai unik GSI sebagai produk awam antarabangsa dalam bidang keselamatan.
Menurutnya, kepentingan GSI dalam usaha merungkai cabaran keselamatan dan memelihara kestabilan global lebih terserlah tatkala berdepan situasi antarabangsa yang kompleks ketika ini.
Penubuhan Pusat Kajian GSI justeru bertujuan mengukuhkan penyelidikan dalam bidang berkaitan, menggalakkan pelaksanaan GSI dan memberi lebih banyak sumbangan kepada keamanan dan keselamatan dunia.
Majlis pelancaran itu dihadiri seramai 110 duta asing dan wakil dari lebih 80 negara serta pertubuhan antarabangsa dan rantau, selain lebih 70 wakil jabatan kerajaan, pakar dan sarjana China.