- Lain-lain
China, Kazakhstan Suluh Jalan Integrasi Tamadun
Kaedah terbaik untuk mewarisi sejarah ialah dengan melakar sejarah baharu. Tatkala pembangunan bersama Jalur dan Laluan makin mendalam dan praktik, pertukaran antara rakyat dan budaya menyingkap lembaran baharu dalam persahabatan China dan Kazakhstan. Baru-baru ini, rombongan wartawan People’s Daily Online melawat ke Kazakhstan untuk menyaksikan pola interaksi yang pelbagai antara China dengan negara itu dalam bidang-bidang seperti budaya, seni, pendidikan dan kesihatan, sambil meneroka cara tamadun-tamadun berbeza dapat hidup bersama secara harmoni.
Bersama bangunkan Jalur dan Laluan, perkukuh ikatan rakyat
Pada 7 September 2013, Presiden China Xi Jinping dalam ucaptama yang disampaikan di Kazakhstan, buat julung-julung kalinya mencadangkan pembangunan bersama Jalur Ekonomi Laluan Sutera.
Pada 2023, jumlah perdagangan China-Kazakhstan melebihi paras USD40 bilion untuk kali pertama, dengan merekodkan kenaikan 32% tahun ke tahun kepada USD41 bilion.
Melangkah masuk ke Kazakhstan, baik logo Xiaomi yang pasti mencuri perhatian di pusat beli-belah alat digital, porselin China di pasar tani, mahupun kereta jenama China seperti Geely, Cheri dan BYD yang meluncur di jalanan, kesemuanya gambaran nyata betapa lancarnya perdagangan antara China dengan Kazakhstan.
Pada masa ini, perjanjian pengecualian visa dua hala sedang dalam pelaksanaan, ‘Tahun Pelancongan Kazakhstan’ di China sudah membuka tirai, dan kedua-dua negara telah menjalin ikatan 26 pasang provinsi, negeri dan bandar sahabat. Rakyat China dan Kazakhstan sering datang dan pergi, dan persahabatan yang telah diperturunkan selama ribuan tahun kian berakar di sanubari.
Muhibah, dari generasi ke generasi
Di kota purba Almaty yang terletak di Jalan Sutera, terdapatnya Lebuh Perdana Xian Xinghai yang merupakan lokasi bagi memorial tokoh termasyhur itu.
Pada 1941, komposer China Xian Xinghai tiba di Almaty. Dia ketika itu lesu gara-gara hambatan kemiskinan dan penyakit. Mujurlah, komposer Kazakhstan Bakhitzhan Baykadamov menawarkan tempat tinggal bahkan menjaga Xian. Di sinilah, Xian menyempurnakan alunan Kantata Sungai Kuning dan menggubah puisi simfoni “Amangeldy” yang memuji pahlawan-pahlawan Kazakhstan, yang ternyata cukup popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Pada 2019, filem “The Composer” terbitan bersama China dan Kazakhstan membawa kisah yang menyentuh perasaan ini ke layar perak.
Saling belajar dan saling rujuk, suluh jalan integrasi tamadun
Di Kazakhstan, ada pepatah yang berbunyi: “Lagu dan kuda, ibarat sayap orang Kazakh.” Sesiapa yang pernah berkunjung ke Kazakhstan pastinya setuju bahawa budaya muzik dan kuda juga dapat menjadi jambatan untuk integrasi dan saling belajar antara tamadun-tamadun berbeza.
Di mata Clara Hafizova, seorang ahli kaji China dari Kazakhstan, novel-novel klasik China seperti Hikayat Tiga Negara, jelas menggambarkan ikatan rapat antara kuda dengan watak-watak pahlawan. Ini serupa dengan kisah-kisah pahlawan dan kuda mereka dalam sejarah Kazakhstan.
Sejak purbakala, umat manusia telah pun berkongsi hasil daripada pertukaran budaya antara satu sama lain. Hafisova berkata, untuk mengecap kemakmuran bersama, umat manusia perlulah memahami kepelbagaian budaya.
Kini, pertukaran budaya antara China dengan Kazakhstan semakin banyak bentuknya. Setiap hari Isnin hingga Jumaat, penonton saluran Astana TV boleh mengikuti drama China yang dialih bahasa. Kru dari Kazakhstan juga disambut dengan baik ketika membuat penggambaran di Bandar Filem dan Televisyen Hengdian di Zhejiang.
Di Kedai Buku Shangsi di Almaty pula, tersusun rapi lebih 1,000 buah buku mengenai pelbagai aspek politik, sejarah dan budaya China. Gulaina Zhenis, seorang pengajar di Jabatan Pengajian Timur Universiti Kebangsaan Kazakh Al-Farabi, antara pengunjung kerap kedai buku tersebut. Setiap kali terjumpa buku yang sesuai, dia akan mengesyorkan kepada pelajar-pelajarnya yang mengikuti kelas bahasa Cina.
Peradaban menjadi berwarni-warni melalui komunikasi, dan diperkaya apabila manusia saling belajar.
Daripada perpaduan budaya di sepanjang Jalan Sutera purba, kepada pahit maung perjuangan menentang fasis, hinggalah Inisiatif Jalur dan Laluan hari ini, China dan Kazakhstan selaku jiran baik, rakan kongsi baik dan saudara baik, akan bahu-membahu mencoret satu riwayat indah memaparkan persahabatan dua negara dari generasi ke generasi.
- Artikel Presiden Xi Disiar Media Kazakhstan
- Xi Tiba di Astana
- Sorotan Kerjasama China-Kazakhstan
- Selami Keindahan Budaya Kazakhstan dalam 90 Saat
- People’s Daily, Media Kazakhstan, Saling Kongsi Pencapaian Kerjasama dalam Liputan BRI
- Presiden Kazakhstan Bertemu Wang Yi
- Wang Yi Akan Hadir Sidang Menteri Luar SCO
- Xi, Tokayev Ucap Tahniah atas Pelancaran 'Tahun Pelancongan Kazakhstan' 2024
- Xi Temui Presiden Kazakhstan
- Xi Berunding dengan Presiden Kazakhstan