- Lain-lain
Xi Ditemui PM Belanda
Presiden China, Xi Jinping ditemui Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada petang Rabu.
Xi menyatakan bahawa Belanda sudah menjadi “pintu masuk” yang sebenar bagi kerjasama China-Eropah. China bersedia bersama dengan Belanda memelihara pertukaran lawatan di pelbagai peringkat, mengekalkan komunikasi dan dialog, serta memperjuangkan matlamat yang saling menguntungkan dan sama menang supaya dapat mendorong hubungan rakan komprehensif kedua-dua negara yang menekankan kerjasama substantif berkembang terus ke arah yang terbuka.
China bersedia memperluas pengimportan produk bermutu dari Belanda, mengalu-alukan perusahaan Belanda melabur di China, dan berharap agar Belanda menyediakan suasana perniagaan yang adil dan telus kepada perusahaan China.
Xi berharap kedua-dua pihak meneroka potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, transformasi hijau dan ekonomi 'rambut putih' di samping giat menggerakkan kerjasama tradisional termasuk bidang pertanian, pengairan dan sumber tenaga.
Xi menambah bahawa dakwaan ‘cantas hubungan’ dan ‘putus rantaian’ hanya akan menemui jalan buntu, sebaliknya keterbukaan dan kerjasama barulah satu-satunya pilihan. China sentiasa memegang konsep sama menang, konsisten meningkatkan tahap keterbukaan dan sudi berkongsi dividen pembangunan dengan pelbagai negara.
"Pelaksanaan dasar luar China berkaitan Eropah kekal mantap. Belanda diharap terus memainkan peranan positif dalam usaha membantu Eropah dan China meningkatkan persefahaman dan mengembangkan hubungan bilateral yang konstruktif," ujar Xi.
Rutte dalam pertemuan itu pula menyatakan bahawa amalan ‘cantas hubungan’ dan ‘putus rantaian’ bukan satu pilihan dalam pelaksanaan dasar Belanda, kerana sebarang langkah yang diambil oleh pihak mana-mana pun yang bertujuan menjejaskan kepentingan China pasti akan menjadikan kepentingan milik pihak sendiri terjejas.
Belanda menghargai hubungan persahabatan dengan China, bersedia bersama dengan China terus memperkasakan perkongsian, memudahkan pertukaran keanggotaan di kalangan rakyat, meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan dan pengurangan pelepasan karbon dioksida serta mengeratkan komunikasi dan penyelarasan dalam menangani urusan Kumpulan 20 dan isu-isu hangat di persada antarabangsa dan serantau.