- Lain-lain
Xi Sampai Ucapan Sempena Resepsi Rai 60 Tahun Hubungan China-Perancis
Presiden Xi Jinping menyampaikan ucapan melalui pautan video sempena resepsi sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik China-Perancis yang diadakan di Beijing pada Khamis.
Xi menyatakan penjalinan ikatan diplomatik antara China dan Perancis pada 60 tahun lalu merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan antarabangsa.
Berbekalkan kebijaksanaan dan keberanian luar biasa, mendiang Pengerusi Mao Zedong dan Jeneral Charles de Gaulle membuka pintu untuk pertukaran dan kerjasama antara China dengan Barat, sekali gus membawa harapan kepada dunia yang berada di tengah-tengah Perang Dingin.
Sepanjang 60 tahun lalu, hubungan China-Perancis sentiasa berdiri di barisan hadapan dalam hubungan China dengan negara Barat, sehingga membawa kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada kedamaian, kestabilan serta pembangunan dunia.
Beliau berkata sejarah unik hubungan dua negara melahirkan 'semangat China-Perancis' yang berlandaskan kemandirian, kesalingfahaman, pandangan jauh dan kerjasama saling untung.
Berdepan perubahan pada era baharu, China dan Perancis harus menjunjung aspirasi asal yang disemai ketika menjalin hubungan diplomatik, memandang masa hadapan dan berani bertindak ke arah meraih kemajuan lebih besar.
Xi menekankan perlunya China dan Perancis terus mengembangkan hubungan bilateral dan menangani ketidakpastian dunia menerusi kestabilan hubungan dua hala.
Peluang daripada aktiviti Tahun Budaya dan Pelancongan China-Perancis serta Sukan Olimpik Paris boleh dimanfaatkan untuk memperluas pertukaran sosiobudaya dan menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat, kata beliau.
Xi berharap kedua-dua pihak bersama-sama menegakkan multipolariti yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif dan menguntungkan semua, di samping menyumbang kepada usaha memelihara keamanan dunia dan merungkai cabaran global.
Kedua-dua pihak juga diharap aktif meneroka potensi kerjasama dalam sektor baru muncul seperti industri hijau dan tenaga bersih, mengumpul kekuatan kerjasama dan berkongsi peluang pembangunan menerusi keterbukaan.
Menghadapi tempoh 60 tahun mendatang, China dan Perancis akan menggembleng tenaga untuk terus melakar kegemilangan, tambah beliau.
Presiden Perancis Emmanuel Macron juga menyampaikan ucapan secara maya pada majlis resepsi itu.
Beliau menyatakan Perancis bersedia bersinergi dengan China untuk mengatasi cabaran sejagat dan mendorong penyelesaian krisis antarabangsa.
Sempena Tahun Budaya dan Pelancongan Perancis-China pada 2024, kedua-dua pihak akan merapatkan lagi pertukaran sesama rakyat terutamanya golongan muda bagi meletakkan asas lebih kukuh untuk masa depan hubungan dua negara.
- Wang Yi Ucapkan Tahniah kepada Menteri Luar Perancis Baharu
- PM China Ucap Tahniah kepada PM Baharu Perancis
- Menteri Luar Perancis akan Lawat China
- Xi Seru Lonjakkan Hubungan China, Perancis ke Tahap Baharu
- Dialog Strategik China-Perancis Bakal Buka Tirai
- Perancis Kerah 45,000 Anggota Polis Tangani Rusuhan
- Li Qiang Bertemu Macron
- PM China Mula Lawatan Rasmi ke Perancis
- Qin Gang akan Lawat Jerman, Perancis dan Norway
- Pertemuan Tidak Rasmi Xi, Macron di Guangdong