- Lain-lain
Penduduk Bandar Makin Menjiwai Tarian Tradisional Tibet (2)
Yanggyi mengajar kanak-kanak di dalam kelas di sebuah tadika di Chengdu, provinsi Sichuan, barat daya China, 15 Disember 2023. (Xinhua/Shen Bohan) |
Yanggyi, seorang penari Tibet berusia 24, dilihat sedang bersedia untuk melakukan persembahan, membetulkan pakaian tradisional dan sanggul di belakang kepala.
Wanita tersebut akan mempersembahkan tariannya di dataran awam di Chengdu, iaitu sebuah bandar sibuk di barat daya China dengan populasi lebih 20 juta.
Ketika alunan lagu cinta Tibet meresap ke udara malam, Yanggyi lantas memasuki pentas tarian, sekali gus menandakan bermulanya pesta tarian Guozhuang yang penuh meriah.
Guozhuang, yang bermaksud menyanyi dan menari dalam bulatan, adalah tarian tradisional Tibet. Semasa masa lapang, orang Tibet dari semua peringkat umur sering berkumpul dalam bulatan, menari dengan lenggok mengikut rentak berirama.
Sejak tahun 1980-an, Chengdu yang merupakan ibu kota provinsi Sichuan, telah menjadi destinasi pilihan bagi penduduk yang berpindah dari dalam wilayah dan wilayah jirannya berikutan iklim yang menggalakkan dan ekonomi yang sihat.
Meskipun orang ramai menjalani kehidupan bandar seperti biasa, namun jumlah orang Tibet yang membawa tarian Guozhuang serta warisan budaya lain ke bandar juga semakin ramai. Dengan itu, seni tersebut mula dijiwai oleh ramai penduduk bandar.
Pada 2014, Yanggyi yang berusi 15 tahun ketika itu berpindah dari kaunti Jinchuan di daerah autonomi Tibet dan Qiang Aba ke Chengdu. Selepas tamat pengajian universiti, dia kemudiannya menjadi guru tadika di bandar.
Sembilan tahun menetap di Chengdu mengubah Yanggyi daripada seorang remaja dalam komuniti Tibet kepada seorang dewasa muda yang meneruskan kerjaya di bandar, dengan Guozhuang sebagai tali penghubung ke kampung halamannya.
Walaupun tidak dilatih secara profesional dalam tarian, Yanggyi menganggap Guozhuang sebagai bahagian intrinsik identiti budayanya.
"Pada saya, tarian adalah ibu kepada semua bahasa kerana ia boleh meluahkan banyak emosi," katanya.
Pada 2021, Yanggyi bersama-sama dengan kumpulan yang sealiran pemikiran telah membentuk kumpulan tarian Guozhuang. Bermula dengan hanya tujuh ahli, kumpulan itu mendapat populariti melalui kaedah mulut ke mulut dan kuasa Internet, sekali gus menarik sejumlah besar peminat tarian.
Hari ini, kumpulan tarian Yanggyi telah menjadi salah satu kumpulan tarian Guozhuang paling popular di Chengdu dengan jumlah pengikut di media sosial yang seramai 420,000. Orang ramai mengembara dari Beijing dan Shanghai, malah luar negara untuk melihat persembahan mereka.
Pada setiap persembahan tarian, Yanggyi dan rakan sepasukannya memakai Hadas, tudung sutera tradisional Tibet yang melambangkan kesucian dan tuah, sambil menyaksikan pentas tarian dibanjiri dengan bunga yang diberi penonton sebagai tanda penghargaan.
"Kami berhasrat untuk membawa kegembiraan dan ketenangan sambil membolehkan orang lain merasai keindahan budaya Tibet kami," kata Yanggyi.