- Lain-lain
Adora Magic City Tawar Pengalaman Unik Buat Pengunjung
Kapal persiaran bersaiz besar pertama yang dibangunkan China, Adora Magic City memulakan pelayaran komersial sulungnya selepas meninggalkan Pelabuhan Wusongkou di Shanghai pada 1 Januari.
Pelayaran sulung selama tujuh hari enam malam menuju Korea Selatan dan Jepun, menjanjikan pengalaman yang berbeza dan menarik buat para pelancong.
Pengarah urusan Carnival Cruise Shipping Ltd di bawah China State Shipbuilding Corporation (CSSC), Chen Ranfeng memberitahu, syarikatnya akan membuka laluan pelayaran ke negara-negara Asia Tenggara pada masa hadapan, selain laluan ke Asia Timur Laut yang telah beroperasi buat masa ini.
Menurut Chen, CSSC juga merancang membuka laluan bertemakan Jalan Sutera Maritim dengan menjadikan negara lain sebagai pelabuhan induk bagi operasi kapal persiaran berkenaan.
Model operasi seumpama akan menarik kunjungan pelancong negara lain untuk merasai daya tarikan kapal persiaran China, kata beliau.
Selaku produk elektromekanik unit tunggal terbesar di dunia, Adora Magic City dipasang dengan menggunakan lebih 25 juta komponen. Ia menawarkan sebanyak 2,125 bilik dan suite yang dapat menampung sehingga 5,246 tetamu.
Difahamkan, pembinaan kapal persiaran bersaiz besar yang kedua telah pun dimulakan dan tempoh pembinaannya dijangka akan dipendekkan kepada 41 bulan berbanding 49 bulan pada asalnya.
Ketua arkitek projek kapal persiaran bersaiz besar Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding Co., Ltd (SWS) CSSC, Zhou Qi memaklumkan, kualiti dan standard kapal persiaran besar kedua akan dinaik taraf dengan memanfaatkan penerokaan berterusan platform berkaitan perisian digital berskala besar.
Menurut Zhou, kapal itu dijadual selesai dibina menjelang hujung 2026.