- Lain-lain
China, Syria Jalin Perkongsian Strategik
Presiden China Xi Jinping pada Jumaat mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Syria Bashar al-Assad yang berada di Hangzhou untuk menghadiri upacara perasmian Sukan Asia ke-19.
Pemimpin kedua-dua negara turut mengumumkan penjalinan perkongsian strategik China-Syria.
Xi berkata China bersedia bersama Syria untuk terus saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama satu sama lain, memelihara kepentingan negara membangun dan mempertahankan keadilan antarabangsa.
China juga bersedia memperkasa kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mempertingkat pengimportan hasil pertanian berkualiti dari Syria, di samping bersama-sama melaksanakan dengan baik Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) demi menyumbang kepada kedamaian dan pembangunan dunia.
Bashar pula berkata China sentiasa berdiri di sisi keadilan antarabangsa dan memainkan peranan konstruktif dalam urusan antarabangsa.
Syria bersedia mengambil peluang daripada penjalinan perkongsian strategik ini untuk memperkukuh kerjasama muhibah dan merapatkan koordinasi dengan China dalam urusan antarabangsa dan serantau.