- Lain-lain
Musim Panas Buka Pintu Rezeki Buat Pengusaha
Pengunjung menikmati makanan dan aktiviti hiburan semasa Festival Muzik Starlight di Yiwu, provinsi Zhejiang pada 13 Julai. (foto: China Daily) |
Tatkala banyak pengusaha mengeluh ekoran cuaca panas terik yang melanda hemisfera utara, tidak disangka-sangka pengeluar produk-produk penyaman udara dan pembekal perkhidmatan rantai sejuk di China pula muncul sebagai pemenang pada musim panas ini.
Data daripada Kastam Shenzhen di provinsi Guangdong menunjukkan bahawa jumlah eksport kipas elektrik keluaran bandar tersebut bertambah sebanyak 20 peratus tahun ke tahun dalam lima bulan pertama 2023, merekodkan nilai 13.55 bilion yuan (8.6 bilion ringgit). Eksport ke Kesatuan Eropah sahaja meningkat pada kadar 64 peratus, mencecah 2.14 bilion yuan.
Jelas Fang Suping, timbalan pengurus jualan Ningbo Dechang Electric Machinery Co Ltd, kipas yang dieskport tersebut telah dikilangkan dan dihantar sebelum bulan Jun. Namun, susulan suhu yang terus meningkat, tempahan dari Eropah, Amerika Utara dan Asia Barat mencatatkan kenaikan ketara tahun ini. Pengeluaran kipas sudah dirancang sehingga hujung bulan Ogos, sedangkan pelanggan berpusu-pusu membuat tempahan cemas.
Bukan sahaja perkakasan rumah yang laris dijual pada musim panas ini. Untung besar juga dikaut oleh peniaga buah-buahan seperti laici dan pic. Buah-buahan segar naik kepopularannya, dengan adanya logistik rantai sejuk yang cekap.
Setelah tibanya musim panas, Jiang Mi membanting tulang di Kebun Pic Jiang yang terletak di kampung Zhuangyuan'ao.
Jiang menjelaskan bahawa, “Suhu yang tinggi biasanya datang seiring dengan cahaya matahari yang terang. Hasilnya ialah buah pic yang lebih manis. Tapi keadaan ini juga menjadikan buah menjadi lebih kecil. Buah yang elok hanya dapat diperoleh apabila cahaya matahari dan hujan seimbang. Gelombang panas juga boleh mempercepat proses buah mematang dan memburuk selepas dipetik.”
“Berkat kemajuan pada logistik rantai sejuk, pengangkutan buah pic juga bertambah efisien.”