- Lain-lain
Pelaburan Bukan Kewangan China Meningkat Kepada AS$128.63 Bilion
Jurutera Perbadanan Kumpulan Biro China Railway ke-20 sedang membina jambatan untuk projek Kereta Api Marka-Bangula di Malawi pada 10 Ogos 2024. (foto/China Daily)
Pelaburan langsung keluar bukan kewangan China pada 11 bulan pertama 2024 menyaksikan peningkatan 11.2 peratus dari tahun ke tahun kepada AS$128.63 bilion, lapor agensi berita China Daily pada Khamis.
Memetik data Kementerian Perdagangan, pelaburan keluar terus (ODI) bukan kewangan perusahaan China di negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mencatatkan AS$30.17 bilion.
Menurut jurucakap kementerian itu, He Yongqiang, ia sekali gus menyaksikan peningkatan 5.1 peratus berbanding tahun terdahulu.
“Dalam tempoh ini, perolehan projek luar negara oleh syarikat China adalah berjumlah AS$140.23 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus, dan nilai kontrak yang baru ditandatangani meningkat 11.9 peratus kepada AS$198.79 bilion,” katanya.
Tambah He, perolehan projek berkontrak yang dijalankan oleh syarikat China di negara yang mengambil bahagian dalam BRI direkodkan berjumlah AS$116.14 bilion dalam tempoh tersebut, iaitu meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun, manakala nilai kontrak baru syarikat China yang ditandatangani di negara-negara tersebut dicatatkan sebanyak AS$167.95 bilion, atau meningkat 11.8 peratus dari tahun ke tahun.