- Lain-lain
Keunikan Hubungan Finland-China Lahir daripada Saling Percaya: Presiden Stubb
Adalah sangat signifikan bagi Finland untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan kuasa besar seperti China, kata Presiden Finland Alexander Stubb.
Beliau berpendapat keunikan hubungan dua negara lahirnya daripada kesalingpercayaan dalam bidang perdagangan, komersial dan inovasi.
Stubb mengadakan lawatan selama empat hari di China bermula 28 Oktober sempena ulang tahun ke-74 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dengan diiringi rombongan terdiri daripada 25 perusahaan Finland.
Kini, terdapat sebanyak 250 buah syarikat Finland yang menjalankan perniagaan di negara Tembok Besar.
Mengupas mengenai potensi kerjasama antara Finland dan China, Stubb berkata sains dan teknologi menjadi tumpuan perbincangan kedua-dua pihak dengan melibatkan teknologi hijau, transformasi ke arah mesra alam serta dasar berkaitan industri asas.
Beliau turut menganggap China sebuah negara yang bervisi strategik.
"China mengemukakan banyak inisiatif penting seperti Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan sebagainya.
"Inisiatif berkenaan mempunyai perancangan yang amat baik dan bersifat strategik," kata beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Stubb berkata sekiranya tidak berasaskan fahaman pelbagai hala, multipolarisasi akan membawa kepada huru-hara, keadaan tak tertib malah konflik.
Tambah beliau, lebih banyak kuasa perlu diberikan kepada negara Selatan Global dalam merungkai pelbagai masalah yang dihadapi dunia seperti perubahan iklim, populasi, imigresen, perkembangan teknologi dan pembangunan mampan.
"Masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana negara secara bersendirian, dan ia memerlukan usaha sama semua pihak," jelas beliau.
Sistem peraturan sedia ada perlu dipelihara, kata Stubb sambil menambah pengubahsuaian struktur kuasa harus dibuat supaya negara Selatan Global mempunyai kuasa lebih besar.