- Lain-lain
Langkah Beijing Mudahkan Khidmat Bayaran Beri Manfaat kepada Pelawat Asing
Pelancong asing bergambar di hadapan Qiniandian di Taman Tiantan (Temple of Heaven) di Beijing, ibu negara China, 9 Julai 2024. (Xinhua/Ju Huanzong) |
Langkah-langkah yang diperkenalkan Beijing pada separuh kedua tahun ini bagi memudahkan khidmat bayaran telah banyak memberikan manfaat kepada pelawat asing ketika menggunakan pengangkutan, membeli-belah dan berjalan-jalan.
Pada 13 September, Beijing terdahulu di Tanah Besar China menerima penggunaan kad bank asing untuk bayaran subway. Tanpa memerlukan pembelian tiket atau muat turun sebarang aplikasi, warga asing di Beijing boleh terus mengimbas kad Mastercard atau Visa yang dikeluarkan oleh bank seberang laut untuk menaiki kesemua laluan rel bandar dan juga laluan rel subbandar S2.
Dalam tempoh sebulan lalu, sebanyak 31,400 transaksi seumpama direkodkan secara kumulatif dengan jumlah purata harian seramai 1,046 penumpang yang menggunakan mod bayaran itu, menurut pihak pengendali rel bandar berkenaan.
Sebelumnya, bandar raya itu pada 31 Julai memperkenalkan Beijing Pass – sebuah kad serba guna yang direka untuk kemudahan pengunjung asing dengan memudahkan transaksi bayaran pengangkutan serta di tempat-tempat pelancongan dan pusat beli-belah.
Setakat ini, sebanyak 12,979 kad Beijing Pass telah dikeluarkan sejak pelancarannya. Ini termasuk 6,031 kad fizikal dan 6,948 kad NFC mudah alih yang diaktifkan melalui aplikasi SilkPass. Jumlah kumulatif transaksi menggunakan Beijing Pass sudah mencapai 117,000, dengan kekerapan penggunaan paling tinggi disaksikan dalam senario pengangkutan awam.
Tambahan pula, Beijing kini mempunyai 24 stesen di 11 laluan transit rel yang dilengkapi alat terjemahan sebagai sebahagian projek rintis. Kakitangan stesen juga mengikuti latihan bahasa asing secara berkala supaya dapat memberikan maklumat yang lebih tepat dan komprehensif kepada penumpang warga asing.
Selain itu, laluan bas awam serata bandar kini membuat pengumuman secara dwibahasa iaitu dalam bahasa Cina dan Inggeris. Pembekal khidmat e-panggilan utama turut melancarkan versi bahasa Inggeris aplikasi mereka, yang menyokong mod bayaran antarabangsa seperti MasterCard dan Visa.
Dalam masa terdekat ini, transit rel Beijing dijangka akan memperkenalkan versi antarabangsa aplikasinya yang membolehkan pendaftaran dibuat menggunakan nombor telefon asing, dan menyokong imbasan kod QR untuk keluar masuk. Bas awam dan teksi juga akan terus menambah baik perkhidmatan kepada penumpang warga asing, menawarkan pilihan yang lebih banyak dan pelbagai kepada mereka, maklum pihak berkuasa tempatan.
Sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di China, Beijing menerima lebih daripada 1.65 juta pelancong pada separuh pertama tahun ini, melonjak 245.6 peratus tahun ke tahun, menurut data rasmi.