- Lain-lain
Usahawan Bimbing Lebih 100 Petani untuk Penstriman Langsung E-dagang
Gu Weijun, seorang usahawan dan pebimbing penstriman langsung e-dagang, mengadakan kelas latihan e-dagang strim langsung kepada lebih 10 individu di kampung Youqiao, daerah Nanhu, bandar Jiaxing, Provinsi Zhejiang, di timur China.
Selepas sesi simulasi penstriman langsung selama 20 minit, Gu memberikan contoh dan perincian tentang pelbagai aspek penstriman langsung, termasuk kemahiran interaktif. Penyampaian beliau yang jelas membuatkan para pelatih sentiasa tertarik.
Model latihan adalah hasil daripada pengalaman praktikal Gu sendiri dan program latihan ajuran pihak perbandaran.
Gu Weijun (kanan) menyampaikan ilmu penstriman langsung e-dagang kepada petani di perbandaran Daqiao, daerah Nanhu, bandar Jiaxing, provinsi Zhejiang, timur China. (Foto/Wu Yuliang)
Gu mengusahakan ladang milik keluarga dan studio penstriman langsung berhadapan dengan pusat khidmat pelancong di kampung Youqiao. Dia juga menyunting video dan memuat naik di dalam talian.
"Tapak itu disediakan oleh kampung. Saya melabur hampir RMB50,000 (AS$6,888) untuk membeli peralatan," kata Gu sambil menambah bahawa petani yang berdekatan boleh menggunakan studio itu secara percuma.
Gu berhenti kerja di sebuah bandar dan kembali ke kampung halamannya untuk menubuhkan ladang keluarga pada tahun 2015. Dengan pengalaman kerjanya dalam sektor e-dagang, dia adalah orang pertama yang menjalankan kedai dalam talian di kampung itu.
Apabila dia mendengar berita bahawa perbandaran itu mula menganjurkan program inkubasi bakat e-dagang untuk produk pertanian dan sampingan yang menampilkan kursus rakaman video pendek dan kemahiran promosi penstriman langsung, dia segera mendaftar.
Semasa mengikuti sesi latihan, Gu memperoleh pengalaman praktikal dengan mengadakan sesi penstriman langsung.
Sebagai perintis dalam penstriman langsung e-dagang di kampung, dia berkongsi pengetahuannya dengan rakan sekampung. Pada awal 2023, Gu menjadi pebimbing penstriman langsung e-dagang di bandar itu, dan telah memberikan latihan kepada lebih 100 petani.
Dilahirkan pada 1995, Deng Meilin mengikuti kelas yang diberikan oleh Gu tahun lepas dan mula mengiklankan produk pertanian melalui penstriman langsung kemudian, seterusnya memberi pulangan jualan lebih baik kepadanya.
"Sebelum ini, kami hanya mengadakan siaran langsung untuk menjual produk. Tetapi kini kami juga berharap dapat meningkatkan pembangunan pelancongan luar bandar melalui siaran langsung," kata Gu.
Diilhamkan oleh Gu, Deng cuba menganjurkan pembelian secara berkumpulan pada platform video pendek dan menggalakkan pengguna untuk menyertai aktiviti memetik anggur, iaitu industri yang sedang berkembang pesat.
Semasa cuti Pesta Perahu Naga selama tiga hari baru-baru ini, purata kunjungan pelancong harian ke kampung itu melebihi 500 orang.
"Melalui sesi penstriman langsung, semakin ramai pelanggan menjadi pelancong, dan pelancongan luar bandar berkembang maju di kampung kami," kata Wei Liang, ketua Parti di kampung Youqiao.
Sejak 2018, daerah Nanhu telah menawarkan 103 sesi latihan berkaitan penstriman langsung e-dagang, dan menarik penyertaan lebih 3,600 peserta.
Sejak awal tahun ini, jualan runcit dalam talian luar bandar di daerah itu telah mencapai kira-kira RMB89 juta, meningkat 11.4 peratus dari tahun ke tahun.
Beberapa tahun mutakhir ini, perkembangan pesat e-dagang aliran langsung di kawasan luar bandar China telah melancarkan potensi penggunaan kawasan luar bandar.
Memetik data Kementerian Perdagangan, jualan runcit dalam talian luar bandar negara itu pada 2023 berjaya mencapai RMB2.49 trilion, dan jualan runcit dalam talian produk pertanian meningkat kepada RMB590 bilion.
Menurut dokumen yang dikeluarkan secara bersama oleh Kementerian itu dan lapan jabatan lain pada Mac, China merancang untuk memupuk kira-kira 100 daerah "pendahulu" untuk e-dagang luar bandar, membina sekitar 1,000 pangkalan e-dagang aliran langsung peringkat daerah, dan memupuk kira-kira 10,000 individu yang akan memainkan peranan utama dalam e-dagang luar bandar dalam tempoh lima tahun.
- Syarikat E-niaga Rentas Sempadan Cecah 120,000 di China
- Pameran E-dagang Rentas Sempadan Buka Tirai di Fujian
- E-dagang China Kekal Perkembangan Mampan
- Persidangan PBB Fokuskan Digitalisasi Perdagangan dan E-dagang Rentas Sempadan
- Forum E-dagang Jalan Sutera China-ASEAN 2023 Bakal Diadakan di Nanning
- Catatan Jelajah Kristal Donghai
- E-niaga Rentas Sempadan Berkembang Pesat
- Lebih 1 Bilion Pengguna Platform Video Pendek di China
- Pameran E-niaga Rentas Sempadan China 2023 Buka Tirai
- Sektor Logistik E-dagang China Pulih Cepat