- Lain-lain
Usahawan dari Chongqing Bantu Permudah Komunikasi OKU Pendengaran
Tian Ye diwawancara oleh People’s Daily Online. (People's Daily Online/Zhong Wenxing)
Pemilik Syarikat Teknologi Yeuarmeng Chongqing, Tian Ye yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran bersama-sama anggota pasukannya telah membangunkan platform untuk berkongsi budaya dan pengetahuan tentang komuniti berkait OKU pendengaran, serta kamus bahasa isyarat.
Syarikat pemula yang terletak di Chongqing, bandar di barat daya China itu turut merancang strategi bagi membantu komuniti cacat pendengaran lebih menghayati artifak budaya.
Tian Ye bekerja di pejabatnya. (People's Daily Online/Zhong Wenxing)
Setakat ini, syarikat itu telah menawarkan 8,000 video bahasa isyarat pendidikan dan turut memperkenalkan sistem panduan bahasa isyarat tanpa halangan untuk tempat awam. Sistem ini telah pun digunakan di sembilan muzium di Chongqing yang memberi manfaat kepada lebih 10 juta orang.
Untuk rekod, 90 peratus daripada ahli pasukan Tian yang majoritinya merupakan lulusan Universiti Normal Chongqing (CNU), adalah dalam kategori OKU pendengaran.
Tian Ye menggunakan bahasa isyarat untuk memperkenalkan syarikatnya. (People's Daily Online/Zhong Wenxing)
Para pekerja itu komited untuk menangani cabaran komunikasi dan maklumat yang dihadapi oleh komuniti OKU pendengaran, selain memberikan kemudahan untuk memperoleh maklumat kepada golongan itu.
Dalam proses pembangunan sistem panduan bahasa isyarat, fokus Tian dan pasukannya adalah terhadap cabaran yang dihadapi oleh komuniti bermasalah pendengaran dan keperluan mereka, serta memastikan penjelasan bahasa isyarat yang tepat dan mudah difahami.
Syarikat Tian menerima beberapa penghargaan termasuk penganugerahan Tian sebagai Usahawan Terbaik Chongqing tahun 2022. (People's Daily Online/Wu Chengliang)
Memandang ke hadapan, Tian berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak muzium dan institusi awam di seluruh negara untuk memenuhi keperluan maklumat golongan OKU.