- Lain-lain
Laba: Pesta Kulinari yang Disambut Serata China
Pesta Laba yang disambut pada hari kelapan bulan ke-12 kalendar imlek, jatuhnya pada 18 Januari tahun ini. Pesta tersebut umumnya dianggap sebagai permulaan kepada Festival Musim Bunga atau Tahun Baharu Cina, yang juga bermakna bermulanya persiapan untuk menyambut hari kebesaran itu.
Amalan paling penting pada Pesta Laba ialah makan bubur Laba. Hidangan ini dimasak dengan lapan ramuan, kerana lapan dianggap angka yang membawa tuah dalam budaya Cina.
Resipi bubur Laba berbeza-beza di seluruh negara bergantung pada ramuan yang ada, namun biasanya mengandungi bijirin atau ramuan kering seperti beras, beras pulut, milet, jagung, barli, tamar kering, biji teratai kering, longan kering, kacang merah, kacang tanah atau kacang walnut.
Semangkuk bubur Laba. (Foto fail)
Pesta Laba juga merupakan hari perayaan penting bagi penganut ajaran Buddha. Bagi memperingati Buddha dan menyampaikan harapan baik, banyak kuil di serata negara China menawarkan bubur Laba secara percuma kepada pelawat. Setiap tahun, orang ramai akan berbaris di kuil pada awal pagi untuk menunjukkan pengabdian diri dan memohon tuah untuk tahun yang akan datang.
Bawang putih Laba. (Foto fail)
Di utara China, sudah lama menjadi tradisi pada Pesta Laba untuk merendam bawang putih dalam cuka bagi membuat satu hidangan yang dikenali sebagai “bawang putih Laba”. Bawang putih akan berubah menjadi warna hijau zamrud selepas 20 hari, tepat pada masanya untuk Tahun Baharu Cina. Hidangan itu kemudiannya dimakan bersama ladu pada malam tahun baharu.
Tauhu Laba dari kaunti Qian, provinsi Anhui. (Foto fail)
Tauhu Laba ialah sejenis snek tradisional dari provinsi Anhui yang diperasakan dengan garam, bunga lawang dan lada. Tauhu ini biasanya dijemur atau digantung dengan tali jerami di dalam bilik yang berudara sehingga kering. Cara penyediaan khas ini dapat memastikan tauhu tidak akan rosak hingga tiga bulan lamanya. Tauhu boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng dengan daging.
Mi Laba. (Foto fail)
Di bahagian tengah provinsi Shaanxi, tradisi yang diamalkan orang tempatan pada Pesta Laba ialah makan mi. Pada waktu pagi, setiap isi rumah di sini akan menikmati mi Laba.