- Lain-lain
Presiden Xi Kemukakan Cadangan bagi Galakkan Pembangunan Bersama Asia Pasifik
Pelbagai pihak terlibat perlu berpegang pada aspirasi asal Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), memikul tanggungjawab untuk memberikan respons terhadap seruan zaman, berganding bahu menghadapi cabaran global, melaksanakan secara sepenuhnya Wawasan Putrajaya, di samping membina komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan damai, sekali gus merealisasikan kemakmuran bersama rakyat dan generasi akan datang rantau Asia Pasifik.
Presiden Xi berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk "Berpegang kepada Aspirasi Asal, Berganding Bahu dan Bekerjasama untuk Menggalakkan Pertumbuhan Berkualiti Tinggi di Rantau Asia Pasifik" pada Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC Ke-30 di Puast Moscone San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada 17 November, waktu tempatan.
Xi turut mengemukakan cadangan agar pelbagai pihak mengekalkan inovasi sebagai penggerak.
"Kita perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan teknologi, mempergiat pertukaran dan kerjasama bagi mewujudkan persekitaran perkembangan sains dan teknologi yang terbuka, sama rata, adil dan tanpa diskriminasi."
"Selain itu, mempercepat transformasi dan mengurangkan jurang perbezaan dalam bidang pendigitalan, mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Internet dan Ekonomi Digital APEC, menyokong pengaplikasian teknologi baharu yang melibatkan data raya, perkomputeran awan, kecerdasan buatan, pengiraan kuantum," kata beliau.
Xi juga mencadangkan pelbagai pihak berusaha dengan berpandukan keterbukaan.
"Asia Pasifik perlu memelihara perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka, menyokong dan memperkukuh sistem perdagangan multilateral yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), memastikan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan global."
"Menolak amalan mempolitikkan, mempersenjatakan, atau mengenakan implikasi keselamatan terhadap isu ekonomi dan perdagangan, sebaliknya mendorong integrasi ekonomi serantau dan mempercepat proses kawasan perdagangan bebas Asia Pasifik."
"China yang menjayakan Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) edisi ketiga baru-baru ini menyuntik momentum baharu bagi matlamat terbabit,” kata beliau.
Xi juga mencadangkan pelbagai pihak konsisten dalam pembangunan hijau.
"China telah mengeluarkan inisiatif kerjasama dalam bidang pertanian hijau, bandar mampan, transformasi karbon rendah serta kawalan dan pencegahan pencemaran marin untuk menggalakkan usaha membangunkan bersama Asia Pasifik yang indah," kata Xi.
Selain itu, Xi juga menyarankan pelbagai pihak komited terhadap pembangunan inklusif yang memberikan manfaat untuk semua.
"Kita mesti melaksanakan sepenuhnya Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB, dan menggalakkan isu pembangunan kembali diutamakan dalam agenda antarabangsa, memperkasa koordinasi strategi pembangunan dan bekerjasama untuk menangani defisit pembangunan global," kata beliau.
Xi menambah, China mengalu-alaukan pelbagai pihak menyertai pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global, memperkasa kerjasama dalam bidang pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan, perindustrian, pembangunan dan pengumpulan dana, membentuk komuniti pembangunan sejagat agar rakyat pelbagai negara berkongsi hasil pembangunan modenisasi.
"China akan terus menyokong kerjasama APEC dalam bidang ekonomi dan teknologi untuk menggalakkan pembangunan bersama Asia Pasifik," ujar Xi.
- Berganding Bahu Hadapi Cabaran Global, Wujudkan Kemakmuran Bersama Asia Pasifik - Presiden Xi
- Xi Hadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC Ke-30
- Pembangunan Lestari, “Kunci Emas” bagi Penyelesaian Masalah Sejagat -- Xi
- AS Batalkan Sekatannya terhadap IFSC
- Presiden Xi Jinping Bakal Bertemu dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida
- Xi Hadiri Dialog Tidak Rasmi dan Jamuan Tengahari Kerja untuk Pemimpin APEC dan Perwakilan Tuan Rumah
- Presiden Xi Jinping,Sultan Brunei Bertemu di San Francisco
- Xi Hadiri Dialog Tidak Rasmi dan Jamuan Tengahari Kerja untuk Pemimpin APEC dan Perwakilan Tuan Rumah
- Xi Bakal Hadir Aktiviti Bergambar Kenangan Bersama APEC
- Presiden Xi Bertemu dengan Perdana Menteri Fiji