- Lain-lain
Import, Eksport China ke Negara BRICS Saksikan Peningkatan Pesat
Import dan eksport China dengan negara anggota BRICS yang lain mencapai prestasi cemerlang dengan catatan pertumbuhan kukuh.
Angka terbaharu Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) menunjukkan peningkatan 19.1 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini kepada 2.38 trilion yuan (RM1.51 trilion), sebanyak 10.1 peratus daripada jumlah keseluruhan import dan eksport dagangan China.
Aktiviti dagangan antara perusahaan swasta China dengan negara-negara berkenaan kekal rancak, menyaksikan jumlah perdagangan menjadi lebih besar.
Menurut statistik GACC, jumlah import dan eksport perusahaan swasta China ke negara-negara anggota BRICS lain bagi tempoh Januari hingga Julai direkodkan sebanyak 1.36 trilion yuan (RM870 bilion), naik 29.4 peratus.
GACC berkata pertumbuhan eksport China disokong oleh eksport produk elektromekanikal dan barang produk perkilangan intensif buruh.
Dari segi import pula, produk sumber tenaga antaranya minyak mentah, arang batu, lignit dan gas asli, serta hasil pertanian mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.
BRICS merupakan singkatan kepada kerjasama negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.