- Lain-lain
Beijing E-Town Wujudkan Hab Baharu E-Sukan
Sambutan tiga hari sempena ulang tahun pertama permainan mudah alih League of Legends serta penutupan musim pertama Asian League of Legends berakhir dengan gemuruh sorak-sorai hadirin di Pusat E-sukan JDG Intel Beijing pada 23 Julai.
Finale musim pertama Asian League of Legends melabuhkan tirai pada 23 Julai. (Foto: beijingetown.com.cn)
Semenjak tersenarainya e-sukan sebagai acara rasmi Sukan Asia, bilangan peminatnya terus-menerus meningkat dan ia kini telah menjadi satu fenomena budaya dan sukan yang diikuti secara meluas.
Demi menggalakkan pembangunan berkualiti serta pembinaan jenama industri permainan elektronik, agensi kemajuan ekonomi milik kerajaan, “Beijing E-Town” telah memperkenalkan beberapa dasar utama.
Pertandingan e-sukan Festival Sains dan Seni Dadu Dongnan kedua (foto: beijingetown.com.cn)
Syarikat-syarikat baharu yang memasuki arena ini boleh menikmati subsidi sewa sebanyak 50 peratus selain ganjaran tertentu untuk projek-projek penting. Pusat inovasi dan kejuruteraan di pelbagai peringkat domain permainan dan e-sukan pula berpeluang menerima pembiayaan satu kali berjumlah 10 juta yuan jika sudah memperoleh perakuan peringkat nasional.
Ganjaran paling tinggi yang diperuntukkan bagi permainan-permainan yang pernah memenangi anugerah peringkat negara dan bandar ialah 2 juta yuan. Kelab e-sukan yang meraih keputusan cemerlang dalam acara-acara antarabangsa dan domestik utama juga boleh mendapat ganjaran maksimum 2 juta yuan.
Bagi para pengusaha di kawasan sekitar tapak penganjuran acara-acara antarabangsa serta temasya yang pengaruhnya besar, mereka boleh mendapat bantuan dana sehingga 5 juta yuan.
Langkah-langkah keutamaan ini telah menarik perhatian dan meningkatkan keyakinan banyak syarikat e-sukan.
Pada masa ini, Pusat Acara E-sukan Pintar Beijing telah menjadi satu simbol budaya baharu bagi bandar itu. Pusat berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai tempat berkumpul untuk peminat e-sukan dengan suasana budayanya yang tersendiri, malah juga menjadi daya penggerak yang mendorong syarikat-syarikat e-sukan unggul, termasuk yang mengusahakan penyelidikan dan pembangunan perkakasan, kandungan permainan, serta budaya dan hiburan.
Dalam pada itu, sebuah pusat penilaian kemampuan pemain telah dibina di pangkalan latihan terbabit. Adanya fasiliti ini dipercayai dapat membantu orang muda lebih memahami hala tuju pembangunan diri di samping menyediakan sokongan bagi memupuk bakat e-sukan.