- Lain-lain
Pendidikan Vokasional Lahirkan Belia Juara Dunia
Seorang jurulatih vokasional menunjukkan cara mengendalikan peralatan mesin kepada pelajar di Kolej Juruteknik Jentera Guangdong di Guangzhou, selatan China, 14 Februari 2023. (Xinhua/Deng Hua)
Nama Kolej Juruteknik Jentera Guangdong mungkin bunyinya jauh sekali daripada gambaran sebuah institut pendidikan yang elit, namun kolej vokasional yang letaknya di provinsi Guangdong, penjana ekonomi selatan China ini telah melahirkan 10 pemenang pingat emas dalam pertandingan WorldSkills Competition sepanjang dekad lalu.
Digelar sebagai “Olimpik Kemahiran”, WorldSkills Competition merupakan satu acara bertaraf global yang mengiktiraf kecemerlangan kemahiran vokasional.
Antara senarai juara lalu ialah Zhou Chujie, yang membawa pulang pingat emas acara permesinan CNC pada Edisi Khas WorldSkills Competition 2022. Kini seorang guru, Zhou yang berusia 24 tahun memberitahu bahawa minatnya terhadap kerja teknikal bangkit semasa satu lawatan ke sebuah bengkel kawalan berangka (numerically-controlled workshop) ketika di bangku sekolah menengah rendah.
“Di bengkel itu, juruteknik berpakaian seragam kemas berwarna kelabu kebiruan asyik dengan tugas masing-masing, menghasilkan berderet-deret komponen dengan mesin yang mereka kendalikan,” ujar Zhou, mengenang kembali.
Minatnya itu berubah menjadi satu impian tatkala dia melihat pasukan China merampas pingat satu demi satu pada WorldSkills Competition kali ke-44 menerusi kaca televisyen.
Kata Zhou, dia “begitu teruja hingga tidak dapat tidur” pada malam itu. Yang bermain di fikirannya ialah sama ada dia sendiri boleh mewakili China dan menunjukkan kehandalan dalam pertandingan tersebut suatu hari nanti.
Oleh sebab hendak mengejar impian inilah, Zhou mendaftarkan diri di kolej juruteknik jentera, menjurus kepada permesinan CNC sebagai mata pelajaran utama. Selepas mengasah kemahiran diri tanpa henti, dia tampil jauh di hadapan rakan-rakannya, malah diberi peluang untuk mewakili China, yang berakhir dengan kemenangannya pada Edisi Khas WorldSkills Competition 2022.
Pingat yang diraih Zhou menandakan kemenangan kali keempat berturut-turut bagi kolejnya dalam pertandingan permesinan CNC.
Kolej Juruteknik Jentera Guangdong duduknya antara tiga teratas bagi institusi awam serupa di provinsi berkenaan. Berkat sistem pendidikan vokasionalnya yang mantap, provinsi Guangdong mempunyai 18.5 juta pekerja mahir yang menjadi kemegahannya. Separuh daripada pelajar kolej di sana belajar di kolej vokasional.
Pada 2022, industri pembuatan Guangdong merekodkan nilai tambah berjumlah 4.4 trilion yuan atau 2.8 trilion ringgit, iaitu seperlapan jumlah seluruh negara.
Dikenali sebagai “kilang dunia”, China telah lama menitikberatkan pendidikan vokasional dalam dasar-dasar yang dilaksanakannya, satu pendekatan yang telah membolehkan negara ini membentuk sistem pendidikan vokasional yang terbesar di dunia.
Menurut kementerian pendidikan, sekolah-sekolah vokasional peringkat menengah dan lebih tinggi menyumbang kepada kira-kira 10 juta graduan setiap tahun. Bekalan tenaga kerja mahir yang konsisten telah membantu mengisi kekosongan di barisan dan saluran keluar sektor pengeluaran serata negara.
Pada bulan ini, China telah mengumumkan satu pelan tindakan yang menyasarkan kemajuan lanjut pendidikan vokasional, dengan memfokuskan keselarasan antara latihan di bilik darjah dengan pengeluaran di kilang. Sebagai sebahagian inisiatif ini, kerajaan berikrar untuk melahirkan lebih daripada 10,000 syarikat yang mengintegrasikan pengeluaran perindustrian dengan pendidikan, menjelang 2025.