- Lain-lain
Rasai Denyut Nadi Pertumbuhan Ekonomi China di Forum Davos
Sidang tahunan New Champions Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang juga dikenali sebagai Forum Davos Musim Panas dirasmikan di Tianjin, utara China pagi tadi.
Bertemakan 'Entrepreneurship: The Driving Force of the Global Economy', forum Davos edisi ke-14 disertai lebih 1,500 tokoh yang terdiri daripada ahli politik, perniagaan dan cendekiawan dari 100 negara serta wilayah.
Forum kali ini bukan sahaja membangkitkan semula kedinamikan inovasi dan semangat keusahawanan sejagat, meneroka jalan ke arah rejuvenasi ekonomi dan pembangunan mampan, tetapi juga membantu para peserta mengetahui prospek pertumbuhan ekonomi China.
Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif WEF, Klaus Schwab pernah berkata, selepas mengalami perkembangan selama bertahun-tahun, fokus WEF tertumpu kepada kuasa ekonomi baharu muncul dan syarikat-syarikat yang sedang berkembang, sementara China pula dianggap menjadi salah satu pelopor baharu.
Laporan Bank Dunia menunjukkan bahawa China menyumbang lebih 38.6 peratus kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara purata pada 2013 hingga 2021, dan menjadi penggerak terkuat di dunia.
Pertubuhan dan institusi antarabangsa termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini pula menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi 2023 yang turut memperlihatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap prospek ekonomi China.
Dalam perkembangan lain, China juga menyediakan peluang bagi membantu pemulihan ekonomi global.
Naib presiden Bank Pembangunan Baharu BRICS, Leslie Maasdorp menyifatkan China sebagai salah satu pelabur terbesar dalam sektor tenaga hijau seperti suria, angin dan penyimpanan tenaga bateri.
Menurut beliau, dengan peningkatan pelaburan dalam sektor tenaga hijau, China akan memberi sumbangan yang sangat positif kepada pertumbuhan ekonomi global.
Selain itu, penggunaan modal asing menurut kontrak yang terlaksana di China pada suku pertama tahun ini meningkat 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ia secara tidak langsung menyaksikan pertambahan sebanyak RMB408.45 bilion (RM264 bilion).
Berpandukan prestasi tersebut, Pengerusi Kehormat Global Boston Consulting Group, Hans-Paul Bürkner menyifatkan China sebagai destinasi pelaburan yang tepat.
Menurut beliau, China yang konsisten dalam mengamalkan pembaharuan dan keterbukaan merupakan entiti ekonomi kedua terbesar di dunia yang bertanggungjawab.