- Lain-lain
China Terbit Senarai Keutamaan FTZ Rintis
Foto udara yang diambil pada 20 Ogos 2022 ini menunjukkan kilang gergasi Tesla di daerah baharu Lingang, Zon Perdagangan Bebas Rintis (Shanghai) China. (foto: Jin Liwang/Xinhua)
Kementerian Perdagangan China telah menerbitkan satu senarai keutamaan bagi zon perdagangan bebas (FTZ) rintis untuk tempoh 2023-2025, bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan FTZ pertamanya.
Menurut kementerian itu, antara tahun 2023 hingga 2025, zon-zon perdagangan bebas rintis di seluruh China akan mengusahakan 164 perkara yang telah digariskan sebagai keutamaan. Ini termasuklah yang menyasarkan inovasi keinstitusian, industri-industri kunci dan pembinaan platform, serta projek-projek dan aktiviti penting.
Bagi mendorong perkembangan berkualiti FTZ, senarai berkenaan disusun berdasarkan kedudukan strategik dan sasaran pembangunan setiap zon.
Sebagai contoh, sokongan akan diberikan kepada zon rintis di Guangdong untuk memperdalam sinergi dengan Hong Kong dan Makau dalam bidang-bidang seperti perdagangan, pelaburan, kewangan dan khidmat guaman. Kedua-dua belah juga akan mengiktiraf kelayakan profesional satu sama lain, maklum kementerian perdagangan.
Senarai terbabit bertujuan membantu memperkasakan pembaharuan dan inovasi, selain memperkukuh integrasi sistem FTZ.
China menubuhkan FTZ pertamanya di Shanghai pada 2013, dan kini terdapat 21 zon seumpama di serata negara.