- Lain-lain
Desa China Nampak Peningkatan Bilangan Warung Kopi
Seiring dengan kecenderungan penggunaan warga China yang berubah trendnya daripada melancong ke destinasi peranginan jauh kepada bercuti di desa, munculnya semakin banyak warung kopi di kawasan luar bandar.
Data Laporan Perkembangan Produk Kopi Segar China 2022 yang diterbitkan Meituan, pembekal perkhidmatan penghantaran makanan, menunjukkan bahawa pesanan kopi di bandar tingkat ketiga telah tumbuh hampir dua kali ganda tahun ke tahun, manakala di bandar tingkat keempat dan kelima lebih 250%. Pada masa sama, sebanyak 30,000 entri mengenai “kopi kampung” dibuat di Xiaohongshu, satu media sosial China. Di Douyin (TikTok) pula, jumlah tontonan video dengan hashtag “kopi kampung” melebihi 8.96 juta.
Seorang barista membancuh latte di warung kopi Deep Blue. (People's Daily Online/Ai Yutao)
Di daerah Anji, provinsi Zhejiang, bilangan warung kopi per kapita bahkan mendahului Shanghai. Warung kopi Deep Blue yang terletak di kampung Hongmiao dibina di tebing lombong yang terbiar. Air tasik biru serta batu-batu kelabu di tempat itu membuat landskapnya agak mirip dengan negara Iceland, hinggalah dipanggil “Iceland Kecil”.
Dalam tempoh cuti Tahun Baharu Cina 2023, warung itu menjual 3,000 cawan kopi dalam hanya satu hari, menduduki tempat pertama di seluruh negara. Sebagai bandingan, warung kopi di Sanlitun, pusat bandar Beijing, hanya menjual kira-kira 500 sehari.
Pemandangan indah di sana yang menyebabkan warung kopi itu menjadi tular. Semata-mata demi mengambil gambar, orang muda sanggup datang dari jauh dan mengeluarkan duit, termasuklah untuk harga secawan kopi.
Foto dron warung kopi Deep Blue yang terletak di tebing lombong terbiar di daerah Anji, provinsi Zhejiang yang diambil pada 7 April 2023. (Xinhua/Weng Xinyang)
Warung kopi di kawasan desa dapat membuka pelbagai deria pelanggan dengan pemandangan yang alami, satu kelebihan berbanding dengan warung yang ada di kawasan bandar. Yang disajikan di sini ialah pengalaman yang cukup luar biasa bagi yang jemu dengan kehidupan di bandar.
Di daerah Anji, warung kopi bukan sahaja menawarkan kopi tetapi juga teh, satu pertembungan budaya tradisional dan budaya moden. Perkembangan kopi di kawasan desa turut membawa kepada bangkitnya sektor lain termasuklah pelancongan, menyumbang kepada penambahan pendapatan luar bandar.