- Lain-lain
Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China 2023 Tawar Lebih Kepelbagaian
Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) edisi ketiga membuka tirainya di Haikou, provinsi Hainan, selatan China hari ini.
Pada edisi kali ini, keluasan kawasan pameran mencapai 120,000 meter persegi, iaitu 20 peratus lebih besar berbanding edisi terdahulu, dengan disertai oleh lebih 3,100 jenama butik pengguna dari 65 negara dan wilayah.
Difahamkan, Itali akan menjadi negara kehormat untuk edisi kali ini, sementara Perancis, Jerman, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, dan negara-negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang lain akan secara aktif membawa syarikat dan produk pengguna berkualiti tinggi masing-masing untuk menyertai pameran itu.
Untuk rekod, tiga negara, iaitu Itali, Sepanyol, dan Poland akan membawa delegasi untuk mengambil bahagian dalam pameran itu buat kali pertama.
Taman Perindustrian E-dagang Rentas Sempadan Sanya, yang turut mengambil bahagian dalam CICPE buat julung-julung kalinya, akan mempamerkan lebih sepuluh kategori produk pertanian dan kraftangan.
Untuk edisi kali ini juga, pempamer dan jenama akan melancarkan lebih banyak debut global dan pameran pertama China antaranya kecantikan, jam tangan fesyen, makanan dan minuman, serta barang kemas dan berlian, sekali gus membantu Hainan mewujudkan hab terkemuka untuk paparan fesyen pengguna global.
Di samping itu, berdasarkan dua sesi pameran sebelumnya, CICPE tahun ini akan menambah segmen baharu seperti sukan air, perkhemahan, dan penerbangan altitud rendah dalam usaha untuk memperkayakan lagi pasaran pengguna.
CICPE ketiga juga akan menjadi salah satu pameran fizikal daripada empat pameran peringkat kebangsaan utama di China tahun ini.