- Lain-lain
Ekonomi Asia Mampu Pulih Pantas: BFA
Sebagai pemacu penting ekonomi global, entiti ekonomi rantau Asia akan menyaksikan pemulihan pesat pada keseluruhannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berwajaran (weighted real GDP) diunjur tumbuh sebanyak 4.5 peratus tahun ini.
Demikian menurut Laporan Tahunan 2023 Prospek Ekonomi Asia dan Proses Integrasi yang dikeluarkan sempena sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA) yang sedang berlangsung di wilayah Hainan, China.
Laporan itu juga meramalkan situasi pengambilan pekerja di Asia khususnya rantau Asia Timur lebih baik daripada jangkaan.
Setiausaha Agung BFA, Li Baodong berpendapat Asia akan muncul sebagai tumpuan di sebalik kelembapan ekonomi global pada tahun ini.
“Pembangunan sesetengah negara Asia, khususnya China akan menarik lebih banyak perhatian.
“Rejuvenasi ekonomi China membawa mesej positif kepada Asia dan dunia,” kata beliau.
Sidang tahunan BFA turut menyiarkan laporan tahunan berkaitan pembangunan mampan Asia dan dunia.
Mengulas mengenai laporan itu, Li menyarankan masyarakat antarabangsa supaya mempergiat usaha untuk memulihkan kedamaian dan mengatasi perpecahan.
“Agensi kerajaan dan pelbagai golongan masyarakat perlu bertindak bersama untuk memobilisasikan sumber, di samping mewujudkan perkongsian pembangunan global,” tambahnya lagi.