- Lain-lain
Wawasan Pembangunan China Suntik Tenaga Positif kepada Dunia
Pelan pembangunan masa depan yang direncanakan kerajaan China bukan sahaja menunjukkan hala tuju sendiri, malah menyuntik tenaga positif kepada dunia.
Presiden Xi Jinping dalam ucapannya sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) berkata, pembangunan berkualiti tinggi perlu dikekalkan dalam perjalanan baharu ke arah membangunkan negara sosialis moden yang kuat serta kebangkitan semula bangsa.
Beliau turut menekankan perlunya mempergiat pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan, sambil memperluas keterbukaan bertaraf tinggi secara mantap.
'Modenisasi ala China' menjadi kata kunci yang mencuri tumpuan ramai sepanjang berlangsungnya persidangan berkenaan.
'Pembangunan berkualiti' dan 'keterbukaan bertaraf tinggi' pula merupakan dua komponen penting untuk mencapai wawasan tersebut.
Buat masa ini, China berusaha menambah baik kualiti pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kuantiti meningkat secara munasabah.
Produk keluaran China yang berteknologi tinggi serta yang mempunyai nilai tambah tinggi dan mesra alam menjadi titik pertumbuhan baharu bagi sektor pengeksportan pada tahun lepas.
Seperti yang dinyatakan Presiden Xi, pembangunan China memberi manfaat kepada dunia dan juga tidak dapat dipisahkan daripada dunia.
Kenyataan itu turut memperlihatkan keazaman China untuk terus memperluas keterbukaan.
Selaku entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, sumbangan China kepada pertumbuhan sejagat melepasi 30 peratus secara purata dalam tempoh sedekad lalu.
Pada tahun lepas, jumlah penggunaan sebenar modal asing di China melebihi AS$189 bilion (RM847 bilion), meningkat hampir AS$50 bilion (RM224 bilion) berbanding tiga tahun yang lalu.
Prestasi itu turut mencerminkan pelabur asing kekal optimistik terhadap pasaran China.
Dalam proses menuju modenisasi, China akan terus berkongsi hasil pembangunan sendiri dengan seluruh dunia sekali gus menyuntik lebih banyak elemen dan tenaga positif kepada kedamaian dan pembangunan global.