- Lain-lain
Lapan Tindakan Bersama Perkasakan Kerjasama China, Arab
Presiden China, Xi Jinping telah menganjurkan "lapan tindakan bersama" untuk memperkasakan kerjasama pragmatik antara China dengan negara-negara Arab, ketika berucap dalam Sidang Kemuncak China-Negara-negara Arab pertama yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh pada Jumaat.
Pertama, tindakan bersama dalam sokongan kepada pembangunan. Kedua-dua pihak akan membincangkan pelaksanaan projek bantuan Kerjasama pembangunan berjumlah RMB5 bilion, memberikan layanan tarif sifar kepada negara-negara Arab yang paling kurang maju, menyediakan bantuan kemanusiaan dan bantuan pembangunan semula kepada Palestin, Yaman, Lubnan, dan Syria, dan berusaha meningkatkan jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak mencecah USD430 bilion menjelang tahun 2027.
Kedua, tindakan bersama dalam jaminan keselamatan makanan. Kedua-dua pihak akan bersama-sama membina lima makmal pertanian moden, dan China akan menghantar pakar teknologi pertanian untuk membantu negara Arab mengembangkan sektor pertanian.
Ketiga, tindakan bersama dalam kesihatan. China akan terus menghantar pasukan pakar perubatan ke negara-negara Arab, menjalankan 2000 pembedahan katarak, dan menawarkan perkhidmatan perubatan jarak jauh kepada rakyat tempatan.
Keempat, tindakan bersama dalam inovasi hijau. Kedua-dua pihak akan bersama-sama membina makmal dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang kesihatan, kecerdasan buatan (AI), rendah karbon, telekomunikasi, dan lain-lain. Di samping itu, China akan menawarkan 300 jenis teknologi baharu kepada negara-negara Arab.
Kelima, tindakan bersama dalam keselamatan tenaga. China bersedia bekerjasama dengan pihak Arab untuk membina pusat kerjasama tenaga bersih dan menyokong syarikat tenaga dan institusi kewangan China untuk mengambil bahagian dalam projek tenaga hijau di negara-negara Arab.
Keenam, tindakan bersama dalam dialog tamadun. China akan mempelawa 1,000 wakil dari negara-negara Arab untuk melawat ke China, dan menggalakkan 500 syarikat kebudayaan dan pelancongan kedua-dua pihak menjalankan kerjasama.
Ketujuh, tindakan bersama dalam pendidikan golongan belia. China akan mengadakan forum pembangunan belia China-Arab, menggalakkan interaksi golongan belia dalam bidang kebudayaan dan sains.
Kelapan, tindakan bersama dalam keamanan dan kestabilan. China dan negara-negara Arab akan mengukuhkan kerjasama jabatan pertahanan dan tentera, bersama-sama melaksanakan Inisiatif Kerjasama Keselamatan Data China-Arab.