- Lain-lain
China, GCC Tingkatkan Perkongsian Strategik
Sidang Kemuncak China-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pertama diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdullahaziz di Riyadh pada Jumaat petang.
Presiden China Xi Jinping, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman Al Saud, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Naib Perdana Menteri Oman Sayyid Fahd bin Mahmoud Al Said, Raja Fujairah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi, dan Setiausaha Agung GCC Dr. Nayef Falah Al-Hajraf menghadiri sidang kemuncak kali ini.
Sidang itu memutuskan untuk menjalin dan meningkatkan hubungan perkongsian strategik antara China dengan negara-negara GCC.
Presiden Xi telah menyampaikan ucapan bertajuk “Hargai Pencapaian Terdahulu dan Bersama-sama Cipta Masa Depan Hubungan China-GCC yang Lebih Cerah”.
Menurut Xi, China dan negara-negara GCC mempunyai hubungan persahabatan dan pertukaran selama 2,000 tahun.
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, China bersedia meningkatkan kerjasama dengan negara-negara GCC, membina paradigma baharu kerjasama sumber tenaga dalam seluruh dimensi, mendorong kerjasama kewangan dan pelaburan mencapai kemajuan baharu, dan, meneroka ruang baharu bagi kerjasama sains dan teknologi.
Selain itu, kedua-dua pihak harus berusaha untuk mencapai kemajuan baharu dalam kerjasama aeroangkasa, dan meningkatkan kerjasama dalam bahasa dan budaya.
Sidang kemuncak kali ini mengeluarkan kenyataan bersama, dan meluluskan pelan tindakan 2023-2027 dialog strategik antara China dengan GCC.