- Lain-lain
Pemasangan Galang Kotak HSR Jakarta-Bandung Siap
Pemasangan semua struktur galang kotak (box girder) pada landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung berjalan lancar selepas rasuk terakhir seberat 900 tan berjaya dipasang di jambatan No. 24 landasan itu pada Ahad.
Dengan selesainya pemasangan itu ia sekali gus meletakkan asas kukuh untuk memastikan projek HSR tersebut siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.
Kereta api laju Jakarta-Bandung sepanjang 142 kilometer itu mempunyai tiga seksyen galang kotak iaitu No. 1, No. 2 dan No. 4. Ketiga-tiga seksyen ini bertanggungjawab untuk membina kesemua 2,558 batang galang kotak di sepanjang landasan.
Kerja pembinaan galang kotak di seksyen No. 1 dan No. 4 masing-masing sudah selesai pada Jun dan September lalu. Sementara kerja pembinaan di seksyen No. 2 diselesaikan pada Ahad.
Setakat ini, kerja pembinaan landasan HSR Jakarta-Bandung berjalan lancar. Gerabak Unit Gandaan Elektrik (EMU) dan unit ujiannya sudah tiba di Indonesia pada 1 Sept.
HSR Jakarta-Bandung ialah projek mercu tanda di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), hasil kerjasama pragmatik antara China dan Indonesia.
Projek ini juga merupakan HSR China yang pertama dibina di luar negara membabitkan keseluruhan sistem, elemen dan rantaian industri.