- Lain-lain
Jaga Groto Mogao dengan Penuh Dedikasi
Terletak di gurun Gobi di Dunhuang, provinsi Gansu, Groto Mogao atau dikenali 'Gua Seribu Buddha' memiliki 735 gua, mural seluas 45,000 meter persegi dan 2,415 arca tanah liat berwarna-warni.
Bergelar 'tempat suci seni Buddha', groto itu diiktiraf sebagai tapak warisan budaya dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1987.
Hasil usaha 'penjaga Groto Mogao’ dari generasi ke generasi, tapak bersejarah itu masih dipelihara utuh hingga kini.
Han Weimeng ialah salah satu daripada mereka.
Bermula 2003, Han menjalankan kerja menyalin lukisan mural di Institut Penyelidikan Seni Halus Akademi Dunhuang.
Kerja penyalinan yang dilakukan Han merupakan pendekatan penting untuk melindungi dan mengkaji Groto Mogao.
Berada di Dunhuang selama hampir dua dekad, Han membaktikan seluruh jiwa raga dalam usaha memulihara mural di situ.
Sejak 2017, Han dan rakan sekerjanya sibuk membaik pulih keseluruhan mural di dalam Gua 172 Groto Mogao.
Mural raksasa berusia 1,300 tahun itu merupakan antara karya agung yang dicipta pada zaman Dinasti Tang.
Pada Ogos 2019, Presiden Xi Jinping menjejakkan kaki ke Akademi Dunhuang untuk melihat sendiri keadaan perlindungan dan penyelidikan tinggalan sejarah Groto Mogao.
Beliau menitipkan pesanan untuk menghargai legasi nenek moyang, dan memanfaatkan teknologi canggih dalam pemuliharaan Groto Mogao bagi memastikan tinggalan budaya itu diwariskan dari generasi ke generasi.
Pada masa ini, Akademi Dunhuang telah melengkapkan kerja pemfailan secara digital melibatkan lukisan mural di dalam lebih 270 gua Groto Mogao.