- Lain-lain
Hubungan China, Kyrgyzstan Terus Utuh menerusi Kerjasama: Xi
China dan Kyrgyzstan perlu terus memantapkan sokongan erat di antara satu sama lain dan memperdalam kerjasama saling menguntungkan.
Demikian ujar Presiden Xi Jinping semasa pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Kyrgyzstan, Sadyr Zhaparov di Wisma Tamu Negara Samarkand di Uzbekistan pagi tadi.
Xi berkata, kedua-dua negara harus giat mengusahakan penyelarasan strategi pembangunan sambil memantapkan pelaksanaan pelan kerjasama ekonomi dan perdagangan jangka panjang dan sederhana.
Beliau berjanji akan menyokong pelaksanaan projek landasan kereta api China-Kyrgyzstan-Uzbekistan dan menggalakkan lebih banyak perusahaan China melabur di Kyrgyzstan, selain terus memudahkan aliran warga rentas sempadan dan urusan pelepasan kastam.
Presiden itu turut meluahkan kesediaan untuk meningkatkan koordinasi dengan Kyrgyzstan, menyempurnakan mekanisme pertemuan ‘China + Lima Negara Asia Tengah’, memantapkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.
Dalam pada itu, Zhaparov membalas dengan mengatakan pihaknya sedia memperkasa kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, landasan keretapi, pencegahan wabak COVID-19 dan keselamatan, dan mengukuhkan lagi perkongsian strategik menyeluruh dua negara.